Dr Mahathir dakwa masih Pengerusi BERSATU


(Berita Harian) – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau masih Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), namun mengakui parti itu sudah terbahagi dua.

Dr Mahathir berkata, berikutan itu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh mengaku beliau memangku jawatan Pengerusi BERSATU kerana ia adalah bertentangan dengan perlembagaan parti berkenaan.

“Dia (Muhyiddin) tak boleh jadi pemangku, apa perlu dia jadi pemangku? Saya masih Pengerusi BERSATU kerana mereka (Majlis Pimpinan Tertinggi) tolak peletakan jawatan dan saya terima balik (jawatan Pengerusi).

“BERSATU kini sudah berpecah dua, ada pihak ikut Muhyiddin dan ada ikut Pengerusi (Dr Mahathir),” katanya ditemui pada majlis Kenduri Rakyat di Dewan Wawasan di sini, hari ini.

Pada 29 Februari lalu, Muhyiddin selaku Presiden BERSATU mengumumkan memangku jawatan Pengerusi parti berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari lalu.

Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, Perlembagaan BERSATU menetapkan hanya ada seorang individu sahaja memegang jawatan Pengerusi.

“Perlembagaan tetapkan satu sahaja Pengerusi dalam parti. Tetapi sebahagian daripada parti sudah terima dan ada kumpulan ikut Najib (Datuk Seri Najib Razak).

“Kita belum adakan pemilihan, tetapi akan ada pemilihan untuk memilih pemimpin (Pengerusi),” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr Mahathir mengakui berasa pedih dengan tindakan Muhyiddin yang didakwanya menikam dari belakang.

Katanya, sebagai seorang rakan, Muhyiddin sanggup bekerjasama dengan individu yang melakukan jenayah semata-mata mahu diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Beliau (Muhyiddin) ajak saya keluar Pakatan Harapan (PH) untuk dirikan kerajaan kononnya untuk orang Melayu dan bekerjasama bersama UMNO dan PAS.

“Saya beritahu Muhyiddin janganlah bekerjasama dengan Najib, tetapi Muhyiddin sanggup bekerjasama dengan mereka, saya tidak mahu, tetapi itu alam politik, macam-macam boleh jadi,” katanya.

 



Comments
Loading...