Segera bentuk Kabinet selesai isu ekonomi, COVID-19


Oleh Mohd Nasaruddin Parzi, Berita Harian

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin perlu segera membentuk Kabinetnya bagi mendepani situasi tidak menentu ekonomi negara serta penularan COVID-19 yang semakin merebak.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata bagi tempoh ini, Menteri Kewangan, Menteri Kesihatan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pelancongan antara empat anggota Kabinet yang memerlukan pelantikan segera.

Katanya, ia bagi memastikan pakej rangsangan ekonomi yang diumum kerajaan sebelum ini dapat dilaksana segera selain peranan seorang menteri yang mampu memberi fokus kepada isu COVID-19.

 

“Walaupun ada KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) dan KSN (Ketua Setiausaha Negara) yang boleh mengurus pentadbiran kerajaan, namun ada sesetengah keputusan memerlukan persetujuan seorang menteri.

 

“Ada perkara berkait polisi dan perbelanjaan, memerlukan tandatangan seorang menteri. Ini prosesnya. Dalam isu sekarang, agihan pakej rangsangan ekonomi dilihat mendesak untuk dilaksana, pastinya memerlukan seorang menteri untuk mengurus bagaimana agihan kewangan dibelanjakan,” katanya.

Beliau akui, sedikit cabaran mungkin dihadapi Muhyiddin dalam membentuk Kabinetnya, namun beliau tidak seharusnya mengambil masa agak lama atau berlanjutan sehingga sebulan.

“Khabar angin mengatakan minggu depan umum (barisan Kabinet), ini perkembangan baik. Jika pun ada kelewatan, sebaiknya ia tidak boleh lebih dari dua minggu (untuk barisan Kabinet dilantik).

“Jika Perdana Menteri tidak dapat membentuk keseluruhan Kabinet, ia boleh bermula dengan beberapa menteri yang penting dan mendesak dulu,” katanya merujuk kepada Menteri Kewangan, Menteri Kesihatan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pelancongan.

Beliau berkata, Muhyiddin juga boleh menangguhkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri jika jawatan itu belum mendapat persetujuan beberapa parti gabungannya.

Sementara itu, Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor, berpendapat peranan seorang Menteri Kewangan penting memandangkan isu COVID-19 sudah memberi kesan kepada ekonomi termasuk harga minyak.

Beliau berkata, biarpun harga minyak turun dan pastinya disenangi rakyat, namun dari aspek kewangan kerajaan, ia sedikit terjejas.

“Penularan COVID-19 di serata dunia menyebabkan permintaan minyak global terjejas, malah beberapa negara menerusi syarikat penerbangannya juga sudah membuat keputusan menyekat perjalanan udara,” katanya.

Justeru, kata beliau adalah penting kedudukan ekonomi ini distabilkan, dalam konteks negara, peranan seorang menteri pastinya membantu bagi menjalankan fungsinya dengan berkesan.

 



Comments
Loading...