‘Anwar, Dr Mahathir lebih baik berundur’
(Sinar Harian) – CENDEKIAWAN sains politik, Dr Chandra Muzaffar ialah sahabat baik Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998. Chandralah antara orang yang paling kuat membelanya. Malah Chandra sendiri dipilih menjadi Timbalan Presiden pertama Keadilan (kini PKR) iaitu parti yang ditubuhkan untuk menyambung sisa-sisa perjuangan Anwar.
Bagaimanapun dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Chandra berterus terang mengatakan bahawa Presiden PKR itu harus bersara daripada dunia politik, begitu juga Dr Mahathir.
Katanya, krisis peralihan kuasa yang menyaksikan tumbangnya kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan baru-baru ini sebahagian besarnya berpunca daripada cita-cita dan perseteruan antara dua lelaki ini iaitu Anwar dan Dr Mahathir.
Dalam wawancara selama hampir dua jam bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin, Timbalan Pengarang Berita, Zuki Pileh dan wartawan Mohd Hafiz Ismail Chandara juga menekankan betapa pentingnya peranan raja-raja dalam menyelesaikan persaingan politik di negara ini.
SINAR AHAD: Apa yang Dr nampak daripada situasi yang berlaku?
CHANDRA: Ia suatu yang luar biasa, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kita. Apa yang positif dalam perkembangan ini ialah kejatuhan sebuah parti politik yang dipilih secara demokratik 22 bulan lalu. Ia dipilih untuk menggantikan suatu gabungan yang berkuasa selama 61 tahun.
Dari segi politik dan demokrasi, ini adalah suatu yang luar biasa kerana perubahannya yang begitu besar. Ia berlaku tanpa pertumpahan darah, tanpa keganasan dan tidak pernah berlaku di tempat-tempat lain. Saya menganggapnya sebagai pencapaian terbesar, bukan soal siapa menang siapa kalah.
Kita telah mencapai satu perubahan yang begitu bermakna dari segi politik. Begitu juga apa yang berlaku dalam tempoh beberapa minggu ini, peristiwa Pakatan Harapan tumbang dan digantikan oleh gabungan baharu. Perubahan ini juga berlaku tanpa pertumpahan darah. Sekali lagi parti politik yang dipilih, yang berkuasa tiba-tiba tumbang. Tetapi kali ini proses perubahan berlaku melalui rundingan, melalui usaha mencari kawan baharu, ketepikan kawan lama. Ini juga satu yang luar biasa.
Peristiwa ini mencerminkan apa?
Ia mencerminkan dua perkara. Pertama, ada institusi dan proses politik di negara kita yang boleh menangani perubahan secara matang. Kedua, kematangan rakyat kita selepas 62 tahun proses demokrasi berlangsung di negara ini. Inilah dua perkara yang bagi saya sangat tertonjol.
Saya juga ingin menekankan satu lagi aspek pemerintahan Malaysia yang jarang diberi perhatian. Kita selalu sebut tiga cabang pemerintahan yang penting iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman. Tetapi di negara kita yang mengamalkan demokrasi berparlimen, kita ada satu lagi cabang, dan peranan cabang keempat itu jelas dalam krisis yang berlaku iaitu Majlis Raja-Raja.
Saya berani mengatakan peranannya itu penting dalam menyelesaikan krisis pelantikan Perdana Menteri yang baharu. Agong dan raja-raja lain mengadakan persidangan di tengah-tengah krisis di mana mereka menyokong keputusan Agong.