Tanya pendirian Dr Mahathir tentang Pakatan Harapan, kata Anwar


(FMT) – Presiden PKR Anwar Ibrahim menyerahkan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyatakan pendiriannya dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) selepas pemimpin itu membuat kenyataan tidak akan meneruskan undi tidak percaya terhadap kerajaan baru Perikatan Nasional.

Anwar berkata, Mahathir boleh berubah fikiran mengenai kenyataannya, bagaimanapun parti komponen berharap beliau konsisten dengan pendiriannya bersama PH.

“Setakat ini yang kita maklum bahawa PH terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah. PPBM sudah meninggalkan PH.

“Kita akan terus berbincang dengan Dr Mahathir,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Semalam, pemimpin PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta semua pimpinan PH untuk bertemu bagi menyatakan pendirian mereka terhadap kerajaan baru yang dipimpin oleh Perikatan Nasional.

Ini selepas Mahathir dalam satu wawancara dengan akhbar Sinar Harian menyebut bahawa beliau mungkin tidak mempunyai majoriti untuk mencabar pelantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat dan kerajaan Perikatan Nasional mungkin bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang (PRU-15 ).

Dalam temu bual itu, Mahathir juga mendakwa bahawa orang Melayu tidak menyokong Anwar kerana mereka takut dengan falsafah politik liberalnya.

 



Comments
Loading...