Najib: Sokongan kepada PN ada hadnya


(Malaysiakini) – Pengerusi Lembaga Penasihat BN dan bekas perdana menteri Najib Razak berkata sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) ada batasannya.

“Ramai yang mungkin tak faham bahawa kerajaan PN hari ini bukan kerajaan Muafakat Nasional ataupun kerajaan BN.

“Sebab itu, sokongan kita kepada kerajaan PN ada hadnya,” kata beliau yang juga MP Pekan pada suatu hantaran di media sosial malam tadi.

Menjelaskan lanjut, bekas presiden Umno berkata hal itu menjadi sebab tiga pemegang jawatan tertinggi partinya tidak ada di dalam barisan kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Sebab itu presiden, timbalan presiden dan ketua pemuda Umno tidak ada dalam kabinet kerajaan hari ini.

“Kita hanya pertahankan kerajaan PN ini sehingga PRU15,” katanya lagi.

Pertikaian komposisi kabinet

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mempertikaikan komposisi kabinet PN, berkata walaupun pelantikan kabinet adalah budi bicara Muhyiddin selaku perdana menteri, adalah jelas Umno selaku blok ahli Parlimen terbesar diketepikan dengan cara yang sangat tidak adil.

“Keanggotaan kabinet secara jelas memberikan manfaat yang sangat besar kepada blok Bersatu dan Datuk Seri (Mohamed) Azmin Ali,” katanya dalam satu kenyataan.

Bersatu pada masa ini memegang lebih banyak jawatan kabinet dan timbalan menteri berbanding jumlah kerusi Dewan Rakyat dalam gabungan yang terdiri daripada Umno, PAS dan GPS.

Ketika kabinet diumumkan pada 9 Mac lalu, semua pemimpin dari kem Azmin yang menyertai Bersatu untuk bersama kerajaan Perikatan Nasional, diberikan jawatan kabinet.

Ini menyebabkan Ketua Umno bahagian Johor Bahru Shahrir Samad dan ahli majlis tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman serta Azalina Othman mempertikaikan komposisi berkenaan.

Selepas mesyuarat majlis tertinggi Umno kelmarin, Zahid mempertahankan komposisi kabinet Muhyiddin dengan mengatakan parti itu akan memastikan prinsip ‘semak dan imbang’ terhadap kerajaan pimpinan perdana menteri itu.

Susulan daripada gerakan yang dinamakan Langkah Sheraton, bekas timbalan presiden PKR Azmin bersama 10 anggota parlimen lain keluar parti dan menyertai Bersatu.

PN terbentuk selepas kem Bersatu pimpinan Muhyiddin bertindak keluar PH sehingga mengakibatkan keruntuhan kerajaan pusat.

Situasi itu membawa kepada krisis politik yang menyaksikan Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan selaku perdana menteri ketujuh.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dan membentuk PN dengan sokongan Umno, PAS, GPS.

Setakat ini, PN berjaya merampas Johor, Melaka dan Perak apabila majoriti anggota parlimen menukar sokongannya.

 



Comments
Loading...