COVID-19: Masih ramai langgar arahan PKP
(Berita Harian) – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kesal apabila masih ramai degil dan ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari kelapan hari ini.
“Sebanyak 1,796 laporan kes dibuat oleh pihak polis berhubung perkara itu dengan 695 kes sudah diambil tindakan.
“Angka 695 ini adalah besar….ini sekali gus bermakna (individu) yang melanggar arahan ini masih ramai.
“Seramai 28 orang sedang dalam tahanan dan 40 orang sedang disiasat.. cuba kita fikirkan, sekiranya semua rakyat mendengar arahan, jumlahnya tiadak seramai ini,” katanya ketika ditemubual dalam program Ruang Bicara yang disiarkan secara langsung di Bernama TV, malam ini.
Katanya, perbandingan angka itu adalah sebagai bukti masih ada yang degil, dan jika masih ada yang berdegil, kemungkinan wabak menjadi bertambah besar dan memaksa kerajaan melaksanakan kaedah lain.
“Di peringkat kerajaan, kita masih membincangkan apakah segala tindakan yang diambil sekarang boleh meredakan keadaan atau tidak mampu menyekat wabak ini daripada terus melonjak dengan begitu tinggi.
“Saya takut kalau rakyat fikir selepas seminggu ini, angka yang dijangkiti sudah mendatar.. mereka lega tetapi tindakan kerajaan menambah tempoh PKP adalah supaya rakyat terus patuh dan duduk di rumah,” katanya.
Justeru, Hamzah juga meminta rakyat terus bersama-sama kerajaan untuk terus mematuhi PKP disamping berdoa agar tidak timbul masalah yang lebih besar akibat COVID-19.