MISTERI KEHILANGAN WANG TUNAI RM250,000 MILIK BERSATU: 5 PERTANYAAN UNTUK SYED SADDIQ


Kamarul Yusoff

Menarik sekali mendengar laporan wang tunai sejumlah RM250,000 milik BERSATU yang disimpan di kediaman Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, didapati hilang pada jam 7.00 malam 28 Mac lalu setelah ia didapati tidak diusik pada 14 Mac.

Fakta kes adalah:
(1) Wang itu disimpan di dalam sebuah peti besi di tingkat atas bilik Syed Saddiq.
(2) Kediaman Syed Saddiq hanya didiami beliau dan pembantu rumahnya yang juga wanita warga Indonesia.
(3) Kata laluan peti besi itu hanya diketahui oleh Syed Saddiq seorang.

Bagaimanapun, lebih menarik dari persoalan siapa yang mencuri wang tunai RM250,000 ini serta bila, mengapa dan bagaimana ia dicuri adalah persoalan mengenai wang tunai RM250,000 ini sendiri, iaitu:
(1) Jika wang tunai RM250,000 ini adalah memang milik BERSATU, dari mana asal wang tunai ini, apakah ia adalah dari yuran keahlian atau dari sumbangan mana-mana pihak?
(2) Jika wang tunai RM250,000 ini adalah dari sumbangan mana-mana pihak apakah ia telah diisytiharkan dan apakah Syed Saddiq berkuasa menyimpannya sedangkan, mengikut Perlembagaan BERSATU, “setiap sumbangan kewangan atau harta kepada parti hendaklah diisytiharkan dan hendaklah disimpan di dalam akaun parti atau dipegang oleh Pemegang Amanah”?
(3) Atas kapasiti apa Syed Saddiq menyimpan wang tunai RM250,000 ini sedangkan, mengikut Perlembagaan BERSATU, “Bendahari Agung hanya dibenarkan menyimpan wang tunai runcit tidak melebihi Ringgit Malaysia Lima Puluh Ribu (RM50,000) pada satu-satu masa”? Syed Saddiq bukan Bendahari Agung BERSATU dan jumlah yang disimpan ini, iaitu RM250,000, juga adalah melebihi jumlah yang dibenarkan disimpan, iaitu RM50,000.
(4) Mengapa wang tunai RM250,000 ini disimpan di kediaman Syed Saddiq sedangkan, mengikut Perlembagaan BERSATU, “wang (yang dibenarkan disimpan) mestilah disimpan di tempat yang selamat di dalam Pejabat Berdaftar untuk kegunaan perbelanjaan runcit parti”?
(5) Untuk tujuan apa wang tunai RM250,000 ini disimpan oleh Syed Saddiq sedangkan, mengikut Perlembagaan BERSATU, “wang (yang dibenarkan disimpan) mestilah untuk kegunaan perbelanjaan runcit parti”?

 



Comments
Loading...