Belalang juta serang Arab dan Afrika, tanaman penduduk musnah


(Astro Awani) – KETIKA seluruh dunia heboh dengan wabak COVID-19, Afrika Timur, Semenanjung Arab dan Asia Barat pula berdepan dengan satu krisis lain – belalang juta.

Dianggarkan berbilion serangga itu menyerang tanaman yang sepatutnya menjadi sumber pendapatan dan makanan penduduk di kawasan ini.

Saintis menyalahkan pemanasan global sebagai punca kepada peningkatan serangga perosak ini.

Belalang juta, atau nama saintifiknya Schistocerca gregaria, biasanya hidup di padang pasir antara Afrika Barat dan India.

Belalang juta memusnahkan tanaman yang sepatutnya menjadi sumber pendapatan dan makanan penduduk. - REUTERS

Belalang juta memusnahkan tanaman yang sepatutnya menjadi sumber pendapatan dan makanan penduduk. – REUTERS
Antara negara yang paling teruk terjejas ialah Afrika Timur dan Yaman, serta negara-negara Teluk seperti Iran, Pakistan dan India.

 

Penyemburan racun serangga dari udara dan tanah, yang digabungkan dengan pengesanan berterusan dianggap sebagai strategi kawalan yang paling berkesan.

Tetapi ketua Organisasi Kawalan Belalang Juta di Afrika Timur, Stephen Njoka memberitahu BBC News mereka kekurangan pesawat untuk melakukan penyemburan dari udara.

Ketika ini, Ethiopia menggunakan lima pesawat dan Kenya menggunakan enam pesawat untuk menyembur racun, manakala empat buah lagi pesawat digunakan untuk pengesanan,.

Januari lalu, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu untuk AS$76m (RM329 juta) untuk menangani krisis itu.

Namun angka yang diperlukan kini telah meningkat kepada AS$138 juta (RM597 juta).

Belalang juta ini membiak dengan cepat selepas musim hujan. - REUTERS

Belalang juta ini membiak dengan cepat selepas musim hujan. – REUTERS

 

Kerajaan China pada Februari lalu telah menghantar satu pasukan pakar ke Pakistan untuk membantu membangunkan sistem terbaharu bagi menangani masalah tersebut.

Menurut laporan, antara sistem yang digunakan akan turut membabitkan 100,000 ekor itik.

Lu Lizhi, seorang penyelidik kanan dengan Akademi Sains Pertanian Zhejiang, memberitahu Bloomberg itik merupakan “senjata biologi”.

Seekor itik, kata Lu, boleh memakan lebih 200 ekor belalang juta dalam masa sehari.

“Itik suka bergerak dalam kumpulan, jadi itik lebih mudah diuruskan berbanding ayam,” katanya kepada media China.

Pusat Pertanian dan Biosains Antarabangsa di Egham, UK pula mencadangkan penggunaan data tentang iklim dan belalang juta bagi membangunkan model yang membolehkan ramalan tumbesaran belalang juta.

Apabila siap, model ini dijangka membantu para penyelidik menentukan jangka masa kitaran hayat belalang juta serta racun serangga yang paling berkesan untuk membunuhnya.

 



Comments
Loading...