Orang-orang Melayu jangan berpecah lagi


ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR, HARAKAH

ISU PERPECAHAN politik orang-orang Melayu sehingga mengakibatkan kuasa politik Melayu turut terpecah bukanlah perkara baru. Ia bermula sejak Pilihan Raya Persekutuan 1955 lagi apabila PAS dan Umno bertarung untuk memenangi undi Melayu di kalangan majoriti pengundi rakyat Malaya ketika itu. Dalam pilihan raya itu Perikatan yang diwakili Umno, MCA dan MIC memenangi 49 kerusi dan PAS 1.

Sejak itu bermulalah persaingan untuk menguasai sokongan dan undi orang-orang Melayu di antara PAS dan Umno dan ia berlarutan dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya selepas Merdeka sehinggalah Pilihan Raya Umum terakhir dalam tahun 2018.

Dan Pilihan Raya Umum 2018 adalah contoh terbaik apabila orang-orang Melayu gagal bersatu, berterusan berpecah sesama sendiri, tatkala itu walaupun mereka mungkin merupakan majoriti pengundi dalam negara, namun mereka boleh digerhanai oleh segmen pengundi yang bukan-Melayu walaupun segmen ini cuma minoriti mengikut bilangan.

Ruginya orang Melayu apabila berpecah, kuasa dan suara politik mereka menjadi lemah, lantas agenda perjuangan mereka tidak mampu diketengahkan atau bakal ditewaskan oleh kepentingan kaum lain yang lebih berdominasi akibat kukuhnya kesatuan politik mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan yang muncul dari PRU 2018 adalah satu contoh jelas. DAP yang mewakili masyarakat bukan-Melayu menjadi suara dominan dan kukuh dalam Kerajaan baru apabila lebih 80 peratus pengundi bukan-Melayu ‘solid’ memberikan undi kepada calon-calon mereka.

Malah pengundi bukan-Melayu ketika itu turut mengundi parti-parti yang berpakat dengan DAP, seperti PKR, PAN dan BERSATU mengakibatkan parti-parti ini turut meraih untung dan mampu menang banyak kerusi terutama apabila undi Melayu berpecah kerana PAS dan Umno turut meletakkan calon di kerusi-kerusi yang mereka tandingi.

Kebimbangan berada di bawah Kerajaan yang sedemikian rupa, bukan lagi igauan tetapi menjadi realiti pasca Mei 2018 dan terus menghantui masyarakat Melayu terutama apabila DAP yang buat pertama kali berkuasa mula menajam dan mencengkam kukunya lantaran dominannya mereka dalam Kerajaan.

Negara tercinta mahu ditransformasi menjadi ‘Malaysian Malaysia’ dengan mengenepi dan menghapuskan segala kontrak sosial dan amalan serta budaya yang telah diterima yang sudah pasti menghakis dan mencungkil apa sahaja warisan dan kepentingan umat Melayu.

Apa pun dengan takdir Allah S.W.T Kerajaan yang didukung kuat DAP itu atas mainan politik sesama mereka akhirnya roboh tak sampai separuh penggal kerana Perdana Menteri (PM) mereka meletak jawatan angkara rebutan kuasa dalaman.

Kerajaan PH telah roboh dan atas robohannya didirikan Kerajaan Perikatan Nasional yang menggabungkan PAS, BN dan BERSATU selain GPS serta beberapa parti dari Sabah setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat oleh Istana sebagai PM yang baru.

Buat pertama kali dalam sejarah parti-parti Melayu terbesar dalam negara bergabung membentuk Kerajaan Persekutuan dengan disokong beberapa parti Bumiputera Borneo dan bukan-Melayu yang lain. Tiada lagi dominasi DAP atau bukan-Melayu apabila Kerajaan baru ini terbentuk dengan lebih 80 peratus wakilnya dari kalangan Ahli-ahli Parlimen Melayu Islam.

Hari ini menyedari komposisi Perikatan Nasional (PN) rakyat khususnya umat Melayu Islam tidak lagi bimbang dan rasa terancam. Menurut penganalisa politik Joceline Tan dalam ruangannya di akhbar Sunday Star (5 April,2020) tidak ada Kerajaan yang stabil kecuali yang mendapat kepercayaan orang-orang Melayu kerana mereka mewakili 60 peratus penduduk negara. Kerajaan PN ini menurut beliau memiliki sokongan 85 peratus orang-orang Melayu.

Walaupun negara malah dunia kini berhadapan dengan ancaman COVID-19, namun segala inisiatif dan langkah Kerajaan di bawah Muhyiddin terus diterima rakyat tanpa banyak pertikaian tidak sebagaimana Kerajaan 22 bulan PH yang lampau. Adalah diyakini kiranya Kerajaan dapat menguruskan dengan baik peperangan menentang ancaman virus ini, tidak mustahil ia akan kekal dalam ingatan rakyat sampai bila-bila.

Kerana itu kiranya PN mampu memperkukuhkan kekuatan parti-parti yang mendukungnya khususnya kalangan BERSATU, PAS dan Umno sehingga PRU ke-15, membereskan segala urusan dengan saksama dan menyelesaikan isu pembahagian kerusi dengan baik, tidak mustahil ia akan menang besar melenyapkan langsung harapan PH untuk membikin ‘comeback’.

Semasa Muafakat Nasional dilancarkan pada bulan September 2019 lalu, Umno dan PAS yang masing-masing memenangi 54 dan 18 kerusi dalam PRU14 lalu, iaitu jumlahnya 72 kerusi Parlimen yakin kiranya mereka mengelakkan pertandingan sesama sendiri dan meletakkan satu calon di kerusi-kerusi majoriti Melayu, gabungan kekuatan dua parti Melayu terbesar ini akan mampu memenangi 126 kerusi Parlimen dan boleh membentuk Kerajaan tidak termasuk kerusi yang boleh disumbangkan rakan-rakan parti bukan-Melayu yang lain. Formula ini terbukti dalam 5 Pilihan Raya Kecil yang Muafakat Nasional (MN) sertai atas satu gabungan.

Kini dengan pembentukan Kerajaan PN, gabungan kuasa politik MN menjadi bertambah besar terutama dengan kehadiran BERSATU dan bekas PKR yang menyertai BERSATU. Gabungan baru ini jika terus kekal relevan pasti membentuk Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri pasca PRU15 yang lebih mantap dan kukuh.

Ketika itu DAP akan terpaksa berpuas hati dengan saki-baki kerusi majoriti bukan-Melayu setelah hilang sokongan dari kerusi-kerusi campuran, PKR pula tanpa sokongan pengundi Melayu akan jadi cemas malah tidak mustahil kerusi-kerusi Port Dickson dan Permatang Pauh juga boleh hilang. Manakala PAN, parti jelmaan DAP dijangka menjadi mangsa terbesar kerana sebahagian besar kerusi-kerusi Parlimen mereka akan jatuh ke tangan PN dengan mudah.

Tidak syak lagi senario seumpama ini amat dialu-alukan khususnya oleh para pengundi Melayu, iaitu negara tercinta kembali stabil dan ditadbir pula oleh segmen yang mewakili majoriti dalam masyarakat.

Segala status quo dan kontrak sosial yang telah dipersetujui akan terus terjamin dan dihormati manakala hak serta kepentingan Islam dan umat Melayu serta Bumiputera akan kekal terbela.

Begitu juga diyakini masyarakat bukan-Melayu setelah melihat kemampuan dan kestabilan Kerajaan PN di bawah Muhyiddin akan mula meninggalkan PH, kerana mereka juga mahu kestabilan dan kemakmuran yang ternyata sukar dicapai apabila PH berkuasa.

Gabungan pimpinan Melayu Islam bukanlah satu kuasa politik yang harus dibimbangi sebagaimana saraf dan propaganda PH, sebaliknya masyarakat bukan-Melayu telah pernah hidup sejahtera dan selamat di bawah Kerajaan seumpama ini termasuklah di Kelantan dan Terengganu di bawah PAS.

Tiada masyarakat bukan-Melayu yang dianaktiri, didiskriminasi atau tercicir dari arus perdana malahan mereka dapat mengamalkan agama dan budaya mereka dengan selamat dan berniaga serta meraih keuntungan tanpa banyak sekatan atau halangan.

Lantaran itu umat Melayu Islam perlu bersatu berdiri teguh di belakang PN manakala pimpinan PN pula terus mempamerkan kepimpinan yang mantap sekali gus menjadikan mereka satu-satunya pilihan tunggal buat rakyat Malaysia pada PRU15 nanti.

 



Comments
Loading...