Abdul Hadi dihormati orang Arab


(1Media) – PELANTIKAN Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf Menteri disifatkan sebagai tepat kerana beliau disegani dan dihormati masyarakat serta pimpinan Arab.

Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin berkata, pihak yang memperlekehkan Abdul Hadi berhubung pelantikan itu adalah mereka yang masih tidak boleh menerima kenyataan.

Menurutnya, beliau berpengalaman menghadiri satu seminar Islam antarabangsa bersama Abdul Hadi di Lubnan dan mendapati masyarakat Arab melayani Abdul Hadi sebagai tetamu terhormat di sana.

“Dia (Abdul Hadi) dari dahulu lagi, sudah 14 ke 15 tahun lepas orang Arab dah hormat dia dah, waktu itu pun dia dah terkenal apatah lagi sekarang ini. Beliau pernah menjadi Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, orang kedua selepas Dr Yusof Al-Qaradawi dan itu bukan jawatan yang calang-calang,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan barangan dapur oleh PAS kepada kakitangan Jabatan Penjara Perlis di Pusat Koreksional Perlis, di Arau.

Terdahulu, ada segelintir pihak mempersoalkan pelantikan dan kemampuan Abdul Hadi ke jawatan itu selain tersebarnya surat bertajuk ‘Gerakan Islah Secara Aman, Bukan Rampasan Kuasa dan Revolusi’ dalam bahasa Arab kononnya ditulis Abdul Hadi kepada pemimpin gerakan Islam.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, Abdul Hadi seharusnya dilantik sebagai menteri kanan di dalam Kabinet namun atas sebab tertentu Ahli Parlimen Marang itu menolaknya.

“Saya mengenali dia (Abdul Hadi) lama dah, kalau nak diikutkan dia boleh menjadi Menteri Besar Terengganu atas kapasitinya sebagai Presiden (parti), tetapi dia memilih untuk tidak bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Itulah sifat pemimpin sebenar dan prinsip dalam Islam, tidak meminta jawatan tetapi jika berpeluang diberikan amanah, kita terima seadanya,” katanya.

 



Comments
Loading...