Doktor unjur 1.6 juta rakyat Perancis mungkin dijangkiti Covid-19
(AFP) – Lebih 1.6 juta daripada 67 juta rakyat Perancis mungkin sudah dijangkiti Covid-19 sehingga kini, unjuran yang dibuat kesatuan pengamal perubatan MG France berdasarkan laporan doktor.
Kesatuan itu dalam satu kenyataan berkata, seramai 2,048 ahlinya dari seluruh negara yang menyertai satu kaji selidik atas talian melaporkan terdapat 56,154 orang dengan gejala koronavirus antara 17 Mac dan 3 April lalu.
Berdasarkan unjuran daripada jumlah itu, ia menganggarkan 1.67 juta orang di Perancis sudah dijangkiti virus berkenaan, ia mewakili hampir 2.5% populasi di negara itu.
“Jelas sekali ini adalah unjuran,” kata Presiden MG France, Jacques Battistoni pada sidang media sambil menambah unjuran itu hanya berdasarkan orang yang mengalami gejala – bukan pembawa virus tanpa gejala.
“Tetapi, ia memberi idea mengenai peringkat magnitud itu.”
Menjelang Rabu, angka kematian koronavirus di Perancis mencecah 10,869 orang dengan 7,148 pesakit di unit rawatan rapi dan 82,048 kes positif.
Pihak berkuasa kesihatan negara itu tidak mengeluarkan sebarang jumlah jangkitan rasmi kerana hanya sebilangan kecil orang yang benar-benar diuji untuk virus itu.
Jean-Francois Delfraissy yang mengetuai Majlis Sains Koronavirus untuk menasihatkan kerajaan, memberitahu France Info Wednesday, satu kempen ujian dalam kalangan penduduk di timur Perancis mencadangkan populasi yang dijangkiti virus itu lebih kecil daripada jangkaan, “mungkin 10% hingga 15%”.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kadar jangkitan Covid-19 dijangka antara 2.0 dan 2.5 jika langkah penjarakan sosial tidak diamalkan.