PKR nafi tawar ganjaran untuk tiup sentimen anti-kerajaan


(FMT) – PKR menafikan wujud usaha untuk mengajak rakyat supaya menghasilkan video pendek mengkritik Kerajaan Perikatan Nasional seperti yang tular baru-baru ini.

Ketua penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, dakwaan penyediaan dana atau habuan untuk video pendek daripada orang ramai itu adalah tidak benar kerana parti itu tiada keupayaan kewangan seperti itu.

“Rakyat mempunyai kesedaran dan kemampuan untuk berfikir secara rasional dan kritis.

“Apabila melihat kelemahan Perikatan Nasional (PN) dalam mengendalikan krisis yang mengancam negara dan nyawa rakyat, sudah pasti mereka akan menyuarakan kritikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, dilaporkan PKR berusaha memastikan sentimen anti-kerajaan terus hidup dengan memberi ganjaran kepada ahli parti yang mengkritik cara pentadbiran semasa mengendalikan pandemik Covid-19.

FMT sebelum ini mendedahkan bahawa PKR, anggota utama bekas gabungan pemerintah sebelum ini, memulakan kempen untuk menafikan sokongan orang ramai kepada kerajaan PN walaupun pembentukannya mengundang kontroversi.

Sebahagian daripada kempen itu, termasuklah menyeru pemimpin parti menghantar video pendek kritikan mereka terhadap pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang terpaksa menguruskan krisis paling serius dalam sejarah moden beberapa hari selepas mengangkat sumpah jawatan.

Satu mesej yang dilihat oleh FMT yang dihantar menerusi kumpulan WhatsApp, menggesa ahli parti itu terus membuat ulasan dengan tujuan menarik perhatian umum kepada kelemahan kerajaan mengendalikan pandemik Covid-19, yang memaksa kerajaan serata dunia mengumumkan pelan penyelamat bernilai berbilion dolar kerana memikirkan ekonomi global mungkin runtuh.

Shamsul berkata, apabila menteri PN mengucapkan sesuatu yang tidak masuk akal, rakyat pasti tidak akan berdiam diri.

“Seperti meminum air suam akan membantu membunuh virus, atau saranan kementerian supaya para isteri membuat suara Doraemon, atau melakukan sanitasi jalan raya dengan membazirkan peralatan perlindungan diri, atau mengajak mahasiswa bermain TikTok, atau yang terbaru tindakan Umno menyerang Dr Musa Nordin.

“Kita yakin rakyat mempunyai kebijaksanaan untuk mengkritik tindakan-tindakan yang memberi kesan negatif kepada kehidupan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul menyeru kerajaan PN supaya bersikap positif menerima kritikan rakyat.

Katanya, PN perlu memahami kritikan tersebut dan membuat pembetulan yang perlu.

“Jangan menjadi terlalu sombong sehingga menganggap kerajaan tahu segala-galanya.

“Cubaan mengalihkan kritikan untuk menyerang saya dan PKR sudah pastinya adalah lebih malang kerana pada saat ini kita harus memfokuskan kepada ikhtiar membendung penularan wabak dan menyelamatkan negara, bukan bermain politik,” katanya.

Shamsul berkata, PN harus insaf bahawa rakyat tidak lagi boleh dimomokkan dengan mantra “the government can do no wrong”.

“Jangan memandang rendah kebijaksanaan rakyat. Itu adalah amalan politik usang dan lapuk. Ini yang membezakan antara kerajaan yang dipilih melalui mandat rakyat dengan kerajaan pengkhianat mandat rakyat,” kata ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi.

“Kerajaan yang ditegakkan dengan mandat rakyat akan menerima rakyat sebagai “partners in struggle”, sementara kerajaan pengkhianat tanpa mandat akan melihat rakyat sebagai ancaman.”

 



Comments
Loading...