APAKAH HANIFF KHATRI PUNCA TUMBANGNYA DR. MAHATHIR?


Syed Ali Alhabshee 

1.SEBAGAI orang lama dalam politik tanahair, saya tertarik dengan perdebatan undang-undang antara peguam Tun Dr Mahathir, Haniff Khatri, dan peguam lagenda Rosli Dahlan yang hangat dibincangkan beberapa hari ini.

2. Perdebatan bermula dengan tulisan Haniff Khatri bertajuk “Analisa Perundangan Berhubung Isu Pucuk Pimpinan Parti BERSATU” dimana Haniff mendakwa bahawa:

a) Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah pun disahkan sebagai Pengerusi Parti BERSATU yang “menang tanpa bertanding” untuk pemilihan parti 2020, walaupun pemilihan belum lagi diadakan.

b) Sehingga pemilihan diselesaikan, selain dari Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi sah, semua penjawat lain dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak mempunyai kuasa sah dan tidak boleh melaksanakan tugas masing-masing.

c) Satu-satunya pihak yang boleh memanggil mana-mana mesyuarat sah MPT sebelum daripada tempoh penyelesaian pemilihan parti adalah Pengerusi sah iaitu Tun Dr. Mahathir.

d) Kesimpulannya ialah semua orang tak sah, hanya Dr Mahathir seorang sahaja yang sah.

3. Hujahan Haniff itu menjadikan Dr Mahathir seperti diktator mutlak dalam Parti BERSATU. Ini seperti ulangan semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri interim tanpa kabinet menteri-menteri menjadikan nya seperti diktator negara. Itu kah yang dihajatkan oleh dan nasihat undang-undang Haniff kepada Dr Mahathir? Jika bagitu, maka Haniff lah punca kejatuhan Dr Mahathir sehingga punah ranah dan tumbang nya kerajaan PH. Inilah padah dan bahaya bila ikut nasihat yang tak betul.

4. Selain dari pandangan Haniff yang pelik, susunan dan tatabahasa tulisan nya juga aneh. Saya yakin kalau tulisan Haniff itu dirujukkan ke Dewan Bahasa Dan Pustaka, ianya akan dijadikan antara contoh-contoh bagaimana tidak menulis dalam Bahasa Melayu. Tulisan Hanif berbelit-belit susah untuk difahami. Maaf cakap, apakah mungkin kerana bahasa melayu bukan bahasa ibunda nya?

5. Sebalik nya, bila saya membaca Jawapan Rosli Dahlan, saya menjadi bangga kerana bahasa Melayu yang cantik lenggok bahasa dan senang difahami tidak seperti kebanyakan tulisan undang-undang yang lain.
Maka, saya syorkan peguam-peguam muda supaya mempelajari cara menulis hujahan bahasa melayu dari Rosli Dahlan. Bahasa Jiwa Bangsa!

6. Bahasa yang digunakan dalam Jawapan Rosli sangat sopan dan beradab. Rosli menunjukkan, secara terperinci dengan hujahan padu, bahawa analisa perundangan oleh Haniff Khatri adalah songsang dan tersasar kerana:

a) TUN DR MAHATHIR SELAKU CALON TUNGGAL PENGERUSI BERSATU BELUM MENANG SEHINGGA PEMILIHAN DIADAKAN;

b) SEMUA PENJAWAT MPT BERSATU BERHAK UNTUK TERUS LAKSANA TUGAS SEHINGGA PEMILIHAN AKAN DATANG;

c) MAJLIS PRESIDEN BERSATU BERKUASA SAH UNTUK URUS DAN TADBIR PARTI.

7. Perdebatan antara kedua peguam ini menarik saya untuk mengkaji lebih sedikit Perlembagaan BERSATU. Tanpa tujuan mengguris hati Dr Mahathir, saya dapati Dr Mahathir tidak pun boleh menganggap diri nya masih sebagai Pengerusi BERSATU.

8. Hal ini jelas dari Fasal 16.9 Perlembagaan BERSATU yang memperuntukkan seperti berikut:

16.9. Jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baharu mengikut Fasal 13.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 16.2.

9. Tiada peruntukkan yang membolehkan seorang penjawat yang telah meletak jawatan untuk kembali memegang jawatan itu kecuali dia bertanding dan dipilih semula.
Memandangkan Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebelum PKP, maka Dr Mahathir tidak boleh dikembalikan sebagai Pengerusi sehingga selepas Persidangan Bahagian dan pemilihan diadakan. Memandangkan PKP dan arahan Pendaftar Pertubuhan untuk menggantung semua aktiviti pertubuhan sehingga selepas 30.06.20, maka penyokong-penyokong Dr Mahathir tidak boleh mendakwa dia adalah Pengerusi sah BERSATU buat masa ini.

11. Walaupun Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Presiden masih sangat sayang dan hormat kepada Dr Mahathir dan mahu mengembalikan Dr Mahathir sebagai Pengerusi BERSATU demi perpaduan parti, namun peruntukan Fasal 16.9 tidak membolehkan perkara
seperti itu. Itulah pandangan ikhlas saya membaca secara harfiah peruntukan tersebut.

12. Satu perkara lagi yang para peguam BERSATU perlu kaji ialah kesahihan menolak perletakan jawatan seseorang apabila dia meletakkan jawatan dengan serta merta. Saya rasa tidak boleh. Tapi biarlah peguam-peguam bijaksana merungkaikan persoalan ini.

13. Akhir kata saya nak bertanya kepada peguam Haniff Khatri apa makna “Jangan Gundah Ganjara!”. Dalam kamus tidak ada. Sebutan slogan itu pun tidak sedap pada telinga saya. Saya harap kalau nak cipta perkataan baru pun janganlah main semborono sehingga macam bahasa PATI Bangla!

 



Comments
Loading...