India tuduh ketua tabligh homisid kerana berhimpun semasa wabak


(Reuters) – India memfailkan tuduhan homisid salah tidak menyamai pembunuhan terhadap ketua kumpulan Islam kerana menganjurkan suatu himpunan bulan lepas yang menurut pihak berkuasa membawa kepada peningkatan jangkitan koronavirus, kata polis hari ini.

Ibu pejabat jemaah tabligh di Delhi ditutup dan ribuan pengikut, termasuk beberapa orang dari Indonesia, Malaysia, dan Bangladesh, dikuarantin selepas mendapati mereka menyertai pertemuan di negara itu pada pertengahan Mac.

Polis pada awalnya membuka kes terhadap Muhammad Saad Kandhalvi kerana melanggar larangan ke atas himpunan besar-besaran tetapi sekarang menguatkuasakan undang-undang homisid salah, kata jurucakap polis.

“Polis Delhi sebelum ini memfailkan laporan maklumat awal terhadap ketua tabligh, kini seksyen 304 dimasukkan,” kata pegawai itu, merujuk kepada homisid salah dalam kanun keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Jurucakap jemaah tabligh, Mujeeb-ur Rehman, enggan mengulas dan berkata mereka belum dapat mengesahkan laporan mengenai tuduhan baru.

Pihak berkuasa berkata sepertiga daripada hampir 3,000 kes koronavirus pada awal bulan sama ada melibatkan orang yang menyertai himpunan tabligh atau terdedah kepada pesertanya.

Angka jangkitan koronavirus di India meningkat kepada 12,380 kes, termasuk 414 kematian, setakat hari ini.

Di kawasan panas koronavirus di Delhi, 1,080 daripada 1,561 kes dikaitkan dengan himpunan tabligh, menurut data kerajaan tempatan semalam.

Pentadbir tabligh sebelum ini berkata pengikut yang mengunjungi pejabatnya di Delhi terkandas selepas kerajaan mengisytiharkan kurungan keluar masuk selama 3 minggu, dan mereka ditempatkan di pusat itu.

Pengkritik kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi memberi amaran jangan memburukkan ketegangan dalam masyarakat denfan menyalahkan kumpulan Islam atas penularan koronavirus.

Pegawai kerajaan menolak cadangan mengatakan mereka secara tidak adil menyasarkan komuniti Islam, tetapi mereka perlu ditegur kerana secara tidak bertanggungjawab tidak pedulikan peraturan penjarakkan sosial.

Kumpulan tabligh juga dikaitkan dengan peningkatan kes di Pakistan yang pada saat-saat akhir membatalkan himpunan apabila ribuan tiba di premis gerakan itu Lahore.

Himpunan anjuran kumpulan itu di Malaysia iuga membawa kepada peningkatan kes dan di beberapa negara Asia Tenggara.

Pakistan mencatatkan 6,505 kes menurut data terkini, meningkat 520 berbanding hari sebelumnya.

Kira-kira 60% kes di Pakistan dikaitkan dengan tabligh atau orang yang ziarah Arab Saudi dan Iran, kata pegawai kerajaan.

 



Comments
Loading...