Bermula 28 April ahli Amanah perlu ingatkan rakyat tentang kerajaan pintu belakang


(Suara Merdeka) – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu mahu ahli parti itu giat memperingatkan rakyat bahawa kerajaan yang adalah bukan diperolehi melalui mandat rakyat tetapi melalui pintu belakang.

Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata bermula 28 April depan seluruh ahli Amanah perlu kembali melaksanakan tugas siasah dengan lebih kuat lagi dan memperkasakan strategi penerangan.

Bekas Menteri Pertahanan itu memperingatkan seluruh pemimpin dan ahli Amanah untuk mempersiapkan hujah untuk tugas yang lebih berat bermula 28 April.

“Rakyat perlu terus diingatkan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah bukan diperolehi melalui mandat rakyat tetapi melalui pintu belakang.

“Ketika berada di dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, pemimpin Amanah diserang habis-habisan, dimaki dan dicerca termasuk dilabel munafik oleh parti Islam khususnya dalam isu meluluskan Akta 355 di Parlimen.

“Namun sekarang ini, parti Islam yang menghentam Amanah itu kini sudah ditampuk kuasa walaupun melalui pintu belakang. Maka tugas untuk membawa dan meluluskan Akta 355 kini menjadi tanggungjawab parti Islam dan tentunya ia menjadi lebih mudah kerana mereka adalah sebahagian daripada kerajaan.” kata Mat Sabu.

Sementara itu Mat Sabu turut memperingatkan pemimpin dan anggota Amanah di segenap peringkat untuk mematuhi arahan pihak Kementerian Kesihatan.

Jelas beliau setakat ini pemimpin dan anggota parti Amanah umumnya mematuhi arahan pihak Kementerian Kesihatan dengan baik.

“Bermula dari peringkat Nasional, AWAN, Pemuda, WARDA, negeri, kawasan sehinggalah ke cawangan, masing-masing memainkan peranan bagi memastikan wabak COVID-19 ini dapat dihentikan.

“Syabas dan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua termasuk pasukan ARiF dan aktivis-aktivis parti yang bertungkus lumus membantu masyarakat dan golongan yang memerlukan, khususnya di negeri-negeri yang bukan diperintah oleh Pakatan Harapan,” kata Mat Sabu.

 



Comments
Loading...