Hadi bidas pemimpin PH hanya pandai cakap kosong isu Rohingya
(FMT) – Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini membidas pemimpin Pakatan Harapan yang hanya pandai bercakap kosong mengenai nasib pelarian Rohingya.
Beliau berkata, partinya sanggup bersama Barisan Nasional sebelum ini dalam membela nasib Rohingya atas dasar kemanusiaan dan agama.
“Ini tidak sama seperti PH yang hanya kedengaran suara Tun Mahathir Mohamad keseorangan di mimbar PBB, tetapi PH lebih sibuk menghadapi krisis dalamannya kerana menanti Tun Mahathir meletakkan jawatan.
“Semua pihak yang hanya pandai mengkritik sepatutnya menyuluh diri sendiri terlebih dahulu dan mengkaji sejarah di tempat asal mereka, bagaimana cara bertindak terhadap pelarian dan apakah layanan mereka terhadap pendatang.
“Jangan bercakap setelah hilangnya kuasa, laksana panglima ayam jantan yang hanya kuat berkokok sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Hadi berkata, kerajaan perlu bijak dalam membuat perhitungan dalam membantu pelarian kerana tidak semua mereka berjuang menuntut hak kemanusiaan, kerakyatan dan agama.
“Kita perlu membuat perhitungan secara bijak, kerana di kalangan Rohingya ada yang benar-benar berjuang, maka wajib disokong perjuangan mereka untuk menuntut hak kemanusiaan, kerakyatan dan beragama.
“Ada juga kumpulan yang tidak peduli dengan apa yang berlaku, hanya sekadar mahu menyelamatkan diri sahaja. Bahkan ada juga yang mencari kesempatan sehingga menimbulkan masalah sosial dan keselamatan kepada negara penerima.
“Maka mencegah mudarat yang lebih besar hendaklah diutamakan daripada menghadapi pendatang yang mencari kesempatan, bukan kerana perjuangan menuntut hak mereka sahaja tanpa perhitungan terhadap diri sendiri,” katanya.
Hadi berkata, langkah kerajaan menghalang kemasukan pelarian Rohingya sebelum ini perkara yang wajar memandangkan negara berdepan penularan wabak Covid-19.
“Semua pihak mengambil langkah awal sebelum ini lagi, sehingga melibatkan NGO Malaysia yang bertali arus pergi ke sempadan membawa bantuan.
“Maka langkah terkini yang diambil oleh pihak keselamatan menyampaikan bantuan bekalan sepatutnya, di samping menghalang bahtera pelarian masuk ke dalam negara dalam suasana seluruh dunia diserang bencana wabak Covid-19 adalah perkara yang sewajarnya.
“Khususnya dalam keadaan luar biasa yang sangat mencabar di waktu berlakunya wabak, apabila kawasan daerah sehinggalah kampung dalam negara sendiri pun dikawal sempadan bagi mencegah wabak yang lebih besar bahaya, tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.
Katanya, isu Rohingya perlu dilihat dengan cara yang menyeluruh, bukan secara serpihan.
“Dunia pernah menghadapi isu Palestin, Kashmir, Bosnia dan lain-lain, bukan sahaja isu Rohingya yang mencetuskan krisis antarabangsa yang tidak ditangani secara konsisten.
“Keadaan begitu berlaku apabila ia tidak dipandang dari sudut hak beragama, hak berperikemanusiaan dan hak berpolitik yang tidak boleh dilihat dari aspek pelarian semata-mata,” katanya.
Hadi berkata, Islam juga mengajar penganutnya melindungi mangsa kezaliman tanpa batas agama, bangsa dan warna kulit, sebelum wujudnya piagam antarabangsa.
“Berdasarkan realiti tersebut, sepatutnya masyarakat antarabangsa tidak boleh membiarkan sahaja kelakuan kerajaan Myanmar yang menyekat hak beragama dan berpolitik kepada rakyatnya sendiri di tanah air.
“Menerima pendatang adalah tindakan kemanusiaan sementara dan terhad yang wajib ditanggung secara bersama oleh masyarakat antarabangsa mengikut piagam antarabangsa, bukan negara Malaysia sahaja.”
Semalam Presiden PKR, Anwar Ibrahim meminta pemimpin negara bertegas dalam isu pelarian Rohingya, bukannya mengikut sentimen dan selera rakyat semata-mata.
“Jangan kita biar, pemimpin pun bertegaslah. Dahulu sampai buat perhimpunan membela, bukan main riuh-rendah satu stadium.
“Sekarang ini, takut orang tengah marah, dalam politik itu nak ikut apa. Betul ikut selera rakyat, tetapi mesti pertahankan hak dan ini soal kemanusiaan,” katanya dalam sidang video yang disiarkan di Facebook malam tadi.
Beliau mengulas serangan bertali arus rakyat mengkritik dan mengecam pelarian Rohingya yang dipercayai berpunca daripada berita palsu mendakwa etnik itu menuntut hak sama rata dan kerakyatan Malaysia.
Ia menyusul tindakan pihak berkuasa menghalang 2 bot membawa pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara lebih seminggu lalu.