Muhyiddin Dan Anwar Ibarat Langit Dan Bumi – Khairuddin
(Suara TV) – Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan sekali lagi bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri.
Khairuddin menjelaskan bahawa pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional yang berlaku hari ini adalah disebabkan oleh kebanyakan tokoh politik dan ahli-ahli parlimen yang menolak Anwar kerana obsesinya untuk menjadi Perdana Menteri.
Jelasnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan tokoh yang paling tepat dan sesuai untuk menerajui kepimpinan negara hari ini.
“Jika dibandingkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Anwar Ibrahim dapatlah diibaratkan seperti langit dan bumi.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin juga seorang tokoh pemimpin yang amat berpengalaman dan seorang ‘performer’, beliau juga dilahirkan dalam keluarga ulama.
“Dalam erti kata yang lain, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat lengkap untuk menjawat jawatan perdana menteri dibandingkan dengan Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Khairuddin, Anwar yang terperangkap dengan khayalan untuk menjadi seorang perdana menteri itu, sudah tidak releven dalam lanskap politik negara hari ini.
Ini kerana menurutnya, Allah juga tidak mengizinkan ahli politik seperti Anwar untuk menjadi pemimpin kepada seluruh ummah di negara ini.
Berbanding dengan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tokoh itu menurut Khairuddin lebih dihormati dan dipercayai berbanding dengan Anwar ketika ini.
“Sebab itu dalam senario politik kita pada hari ini, saya lebih suka Tun Mahathir Mohamad teruskan perjuangan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini saya tahu kerana kalangan ahli-ahli PPBM, PAS, GPS dan Umno masih memujuk serta mengharapkan Tun Dr Mahathir meneruskan kesinambungan perjuangan politik bersama mereka,” tambahnya.