Tiada perikemanusiaan halang kemasukan bot pelarian Rohingya, kata Dr M


(FMT) – Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan tegas kerajaan menghalang kemasukan bot yang membawa pelarian Rohingya sehingga membiarkan etnik itu berada di tengah laut selama 2 bulan sebagai tidak berperikamusiaan.

Bekas perdana menteri itu berkata Malaysia sepatutnya membekalkan kepada kira-kira 400 pelarian itu dengan makanan dan minyak supaya mereka boleh menuju ke lokasi atau negara lain.

“Janganlah kita benci kepada orang Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman.

“Negara-negara Islam dan OIC perlu bertindak untuk menghentikan kezaliman oleh Myanmar,” katanya menerusi catatan blog.

Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa menghalang kemasukan bot pelarian Rohingya di perairan negara bagi menyekat penularan jangkitan Covid-19.

Kejadian pertama apabila Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyekat sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara pada 16 April lalu.

Sehari sebelum itu, pegawal pantai Bangladesh memintas sebuah kapal pukat tunda sarat dengan pelarian Rohingya yang didakwa mangsa terselamat, bot itu terkandas di Teluk Benggala lebih 2 bulan selepas dihalang memasuki perairan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mahathir menggesa negara mengecam Myanmar dan pemimpinnya Aung San Suu Kyi kerana bertindak zalim ke atas etnik tersebut.

Malah, beliau meminta kerajaan menolak urusan dagangan dengan negara tersebut.

“Kita juga perlu meminta Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tindakan terhadap Myanmar. Kita juga perlu dedahkan kezaliman Myanmar kepada dunia.”

Sejak minggu lalu, etnik Rohingya menerima kecaman dan kenyataan berbaur kebencian dipercayai berpunca daripada satu berita palsu yang mendakwa etnik itu menuntut hak sama rata dan kerakyatan penuh di negara ini.

Situasi itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk pemimpin tertinggi parti politik, aktivis dan mufti.

Dalam pada itu, Mahathir berkata beliau sedar mengapa orang Melayu sekarang dilihat terlalu membenci etnik tersebut.

Katanya, negara memberi terlalu banyak suaka kepada pelarian sedangkan mereka patut pergi ke negara lain.

Malah, katanya, negara lain juga perlu membuka pintu kepada pelarian tersebut.

“Tetapi apabila jumlah menjadi begitu ramai dan ada perbuatan pelarian ini yang menyentuh perasaan orang Melayu, maka simpati bertukar jadi benci,” katanya.

 



Comments
Loading...