Penyatuan politik umat Melayu mengganggu DAP
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY
DALAM satu temu bual khas oleh RTM dan Astro Awani baru-baru ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan: “Dalam keadaan sejak saya duduk di kerusi Perdana Menteri, saya tidak fikir soal politik, soal pokok sekarang ini rakyat tidak mahu dengar dah dan sudah muak dengar cerita-cerita politik.”
Hakikatnya dewasa ini fokus rakyat adalah pada kemajuan peperangan terhadap COVID-19 dan bagaimana kehidupan mereka dapat dipulihkan sebagaimana sedia kala. Dalam keadaan masing-masing terbelenggu dan tertekan dengan suasana semasa sudah pasti politik tidak membangkitkan selera, malah pergantungan rakyat kini lebih pada kemampuan Kerajaan membawa mereka keluar dari kemelut ini.
Terkini berdasarkan laporan harian Kementerian Kesihatan Malaysia ternyata Malaysia sedang mencatatkan kemajuan yang positif dalam peperangan menangani pandemik ini.
Tambahan pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN bernilai RM250 bilion yang diumumkan PM dilihat cukup dialu-alukan rakyat. Adalah diyakini jika Malaysia berjaya mengawal wabak ini dengan baik, PM dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijangka menerima kredit dari semua pihak dan ini akan meyakinkan rakyat bahawa mereka kini punya Kerajaan yang cekap dan mampu memimpin negara dengan baik.
Perkembangan seumpama inilah yang dibimbangi dan tidak disenangi musuh politik PN iaitu Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang sedang mengintai peluang untuk kembali berkuasa setelah tersingkir apabila memegang tampuk kuasa cuma 22 bulan.
DAP kesal walaupun punya perwakilan terbesar iaitu 42 kerusi di Parlimen namun ia tidak berada di arus perdana, menguasai Kerajaan sebagaimana sebelumnya ketika PH berkuasa.
Kerana itu walaupun sebagaimana ditegaskan PM, di saat ini rakyat muak dengan cerita-cerita politik lantaran mahu fokus pada isu penting yang dihadapi negara, namun DAP tidak peduli. Tumpuan mereka adalah bagaimana mahu kembali berkuasa setelah tertendang keluar apabila bekas PM Tun Dr Mahathir meletak jawatan sekali gus merobohkan Kerajaan DAP, PKR, PAN dan BERSATU ketika itu.
Terbaru Dr Ong Kian Meng, Ahli Parlimen DAP Kawasan Bangi di dalam satu artikelnya cuba mengadu domba Kerajaan PN, dengan membangkitkan keraguan mengenai kejujuran dan kerjasama parti-parti yang mendukungnya.
Dalam suasana rakyat dan negara berhadapan dengan cabaran wabak COVID-19, DAP lebih ghairah mahu memporak-perandakan Kerajaan, barangkali mengharapkan ia boleh jatuh dan mereka dapat kembali berkuasa.
Dr Ong cuba menggambarkan yang PN ini satu ikatan politik yang goyah dan tidak stabil. Parti-parti yang membentuknya saling berbalah dan curiga-mencurigai antara satu dengan lain. Umno umpamanya kata Dr Ong tidak selesa apabila terpaksa memain peranan nombor dua dalam PN sedang mereka punya kerusi terbanyak berbanding BERSATU yang kini memegang jawatan PM.
Menurut Dr Ong lagi kerjasama parti-parti Umno dan PAS dalam PN hanya bersifat sementara semata-mata untuk memastikan Kerajaan ini tertegak. Sejurus Parlimen dibubarkan katanya Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional akan bekerjasama merebut kerusi-kerusi majoriti Melayu, meminggirkan BERSATU sama-sekali.
Tambah beliau sukar bagi Umno bekerjasama dengan BERSATU kerana parti itu dilihat mahu menggantikan Umno dan malah telah menerima beberapa MP Umno ketika berlaku proses ‘lompat-melompat’ selepas PRU14 lalu. Apakah agenda artikel Dr Ong ini?
Sudah pasti mahu mencetuskan huru-hara di kalangan parti-parti yang bernaung di bawah PN, selain menghilangkan keyakinan rakyat kononnya PN ini rapuh dan tiada masa depan. Mungkin dengan itu PN akan bercakaran dan rakyat pula akan menolak PN pada PRU akan datang.
Setelah hilang kuasa secara mendadak angkara peletakan jawatan Tun Dr Mahathir, Dr Ong dan partinya sudah pasti kecewa dan kesal. Berpuluh tahun DAP memerah otak dan menyusun langkah untuk peroleh kuasa dengan perancangan yang licik, tiba-tiba lesap begitu sahaja akibat perebutan kuasa dan perbalahan dalam PH sendiri.
Dr Ong sedar kiranya parti-parti politik Melayu terbesar iaitu Umno, PAS dan BERSATU dapat bekerjasama dan bermuafakat dengan baik, peluang untuk DAP kembali berkuasa pasti berkecai apatah lagi dalam suasana PKR dan PAN pula semakin dipinggirkan umat Melayu.
Hakikatnya di Malaysia mana-mana parti atau blok yang mahu memegang kuasa, mereka perlulah sokongan undi orang-orang Melayu sebagaimana DAP capai dalam PRU ke-14 lalu setelah berjaya memperkakaskan Tun Dr Mahathir, PKR dan PAN.
Jika parti-parti Melayu terbesar tidak bertanding sesama sendiri sebagaimana pengalaman PRU14 dan sebaliknya mengemukakan satu calon di setiap kerusi khususnya di kerusi majoriti Melayu, maka mereka akan memperoleh bilangan kerusi terbanyak, cukup untuk memerintah negara. Realiti inilah yang dibimbangi dan menjadi mimpi ngeri buat DAP.
Yang paling bimbang dan terancam apabila BERSATU, Umno dan PAS dapat bekerjasama membentuk Kerajaan PN, adalah DAP. Lalu tiap-tiap parti Melayu tadi khususnya BERSATU, Umno dan PAS perlu memikul tanggungjawab besar.
Jika penyatuan umat Melayu Islam boleh membawa kepada kestabilan politik, dan perpaduan rakyat Malaysia, dan memastikan tiada parti pelampau dan rasis dapat berkuasa, maka sudah sampai ketikanya semua pihak mengenepikan perbezaan dan agenda peribadi dan meletakkan kepentingan agama, bagsa dan negara di hadapan.
Pembentukan Kerajaan PN adalah bukti kemampuan umat Melayu memimpin dan membawa kestabilan politik dan ekonomi pada negara. Rata-rata perkembangan ini disenangi rakyat dan diterima dengan hati terbuka buktinya dalam menghadapi COVID-19 ini majoriti rakyat berdiri padu di belakang Kerajaan. Oleh itu parti-parti berkenaan jangan sekali-kali persiakan pengharapan rakyat.
Pembentukan Muafakat Nasional pada bulan September 2019 lalu, telah menyatukan Umno dan PAS yang sebelumnya berbalah puluhan dekad. Ia merupakan satu pencapaian besar umat Melayu Islam di tanah air. Sehingga kini di mana ceruk pun permuafakat itu diterima baik dan disanjung.
Kini melalui PN kita menerima kawan baru dan sekali lagi pimpinan umat Melayu perlu mengambil langkah bijak, meletakkan agenda perpaduan Melayu teratas, Islam sebagai tonggak penyatuan, tidak mustahil gagasan besar akan terbentuk melumpuhkan sama-sekali apa sahaja cita-cita PH apalagi DAP di masa depan.
Marilah dalam semangat bulan Ramadan yang penuh barakah ini kita bersama memikirkan masa depan umat dan negara secara serius. Semoga Allah S.W.T kurniakan kita kekuatan untuk terus menerajui negara berteraskan agama dan bersendikan perpaduan ummah.