CUBAAN BIADAB UNTUK MENGGANGGU TITAH YANG DI-PERTUAN AGONG: APAKAH MELAYU ISLAM TIDAK LAGI KISAH BILA RAJA-RAJA DIHINA?


Kamarul Yusoff

Maklumat yang berwibawa telah diperolehi mengenai perancangan pihak tertentu untuk mengganggu titah perasmian Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14, oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 18 Mei.

Tujuan gangguan ini dirancang untuk dibuat adalah bagi meminta Yang di-Pertuan Agong mendedahkan dengan secara terbuka bilangan sebenar Ahli Parlimen yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri sehingga mendorong Baginda memilih beliau.

Desakan terbuka ke atas Yang di-Pertuan Agong ini dibuat di atas kepercayaan bahawa Tan Sri Muhyiddin kononnya tidak memiliki jumlah sokongan yang mencukupi yang membolehkan beliau dipilih sebagai Perdana Menteri berbanding sokongan yang diperolehi oleh seorang pesaing beliau.

Pada hemat saya, cubaan ini, jika benar-benar diteruskan, hanyalah akan membunuh karier politik pelakunya sahaja kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen di Malaysia mana-mana Ahli Parlimen pernah bertindak biadab mengganggu titah perasmian Yang di-Pertuan Agong.

Peraturan-Peraturan (Standing Orders) Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat terang-terang menyebut “kelakuan atau sifat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu… tidak boleh disebutkan kecuali dengan dikeluarkan usul bersendiri bagi maksud-maksud itu”.

Apa lagi bila amat jelas disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di dalam melantik Perdana Menteri daripada seseorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

Mempersoalkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong ini adalah nyata satu kesalahan di bawah Akta Hasutan yang menjadikan kesalahan ke atas mana-mana kecenderungan hasutan bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Malangnya, mutakhir ini sejak PN memerintah kita menyaksikan betapa pihak penguatkuasa undang-undang negara mahupun pertubuhan bukan kerajaan tidak begitu peka dengan tindakan memperlekeh dan menghina institusi kesultanan, khususnya institusi Yang di-Pertuan Agong.

Ini berbeza dengan waktu PH memerintah dahulu di mana Datuk Takiyuddin Hassan contohnya telah disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan semata-mata kerana menyebut “tak tahu macam mana Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat pengampunan daripada Agong” pada 8 Mei 2019.

Tetapi kini bila para pemimpin PH seperti Khalid Samad pada 5 Mac, Datuk Seri Saifuddin Nasution pada 7 Mac dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 12 Mac terang-terang mempersoalkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, tiada sebarang laporan dan siasatan pun dibuat.

Mengapa ini boleh berlaku? Ke manakah hilang sensitiviti dan segala akujanji umat Melayu Islam khasnya dan rakyat Malaysia umumnya, termasuk di dalam prinsip-prinsip Rukun Negara, untuk mempertahankan kesetiaan mereka kepada Raja-Raja dan mendaulatkan undang-undang?

 



Comments
Loading...