Dua Adun PKR antara 348 ahli yang dipecat – Fahmi
(Malaysiakini) – Dua wakil rakyat PKR adalah antara 348 ahli yang dipecat oleh majlis pimpinan pusat (MPP) parti itu berikutan syor daripada lembaga disiplin.
“Seramai 348 anggota dipecat.
“Ini termasuk beberapa pimpinan seperti Muhammad Jailani Khamis, See Chee How, Vernon Albert Kedit, Mohd Nazree Mohd Yunus dan Syarul Ema Rena Abu Samah,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan di Facebook.
Muhammad Jailani adalah Adun Rembia manakala See pula adalah Adun Batu Lintang.
PURGING PKR: Senarai Ahli Digantung Dan Dipecat
Menurut Fahmi, parti itu turut menggantung keanggotaan 285 ahlinya berdasarkan keputusan yang dicapai semasa mesyuarat pada 21 Mac dan 26 April.
Fahmi berkata, mereka termasuk Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha; bekas timbalan ketua AMK, Dr Afif Bahardin: Anggota Majlis Pimpinan Pusat, Mohd Radzlan Jalaludin dan Ketua Wanita Sabah, Rahimah Majid.
“Dari jumlah ini satu melibatkan pimpinan iaitu (Naib Presiden PKR) Chua Tian Chang (Tian Chua).
“Ini sesuai dengan fasal 41.6 perlembagaan parti. Lembaga disiplin sedang meneliti setiap aduan dan bukti-bukti terhadap mereka dan akan mengesyorkan tindakan selanjutnya kepada MPP,” katanya.
PKR memulakan siasatan terhadap mereka yang diketahui bersekutu dengan bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali setelah beliau mendalangi “Langkah Sheraton” pada akhir Februari, yang menyebabkan kerajaan gabungan Pakatan Harapan tumbang.
Azmin kemudiannya bertindak keluar parti untuk menyertai Bersatu yang bergabung dengan Umno dan PAS untuk membentuk Perikatan Nasional, yang mengambil alih teraju kepemimpinan negara.
Tindakan itu disebut sebagai “Langkah Sheraton” kerana puak Azmin bertemu dengan ahli parlimen Umno dan PAS di hotel berkenaan pada malam 23 Februari, yang menjadi mangkin rantaian peristiwa yang mengakibatkan perubahan pemerintahan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, nama-nama mereka yang dipecat atau digantung akan dimuatnaik dalam laman web parti hari ini.
“Dalam mengendalikan setiap kes disiplin PKR berpandukan kepada perlembagaan parti dan menghormati prinsip keadilan sejagat.
“PKR akan terus menjalankan proses membaikpulih parti selepas episod pengkhianatan yang membawa kepada jatuhnya sebuah kerajaan yang dipilih secara sah melalui mandat rakyat.
“PKR percaya selepas ini parti akan bertambah kukuh dalam usaha melaksana agenda Reformasi demi rakyat Malaysia,” katanya.