Khaled tuduh Azmin gagal bincang dengan negeri sebelum buka semula perniagaan


(FMT) – Naib Presiden Umno, Khaled Nordin menuduh Menteri Kanan (Ekonomi), Azmin Ali gagal berbincang dengan kerajaan negeri berhubung langkah membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi semula di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Katanya, keputusan penting itu perlu dibincangkan bersama semua kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan mereka sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Kegagalan ini menunjukkan kelemahan ketara dalam kepimpinan, strategi dan penyelarasan yang berkaitan dengan pemulihan ekonomi negara.

“Ia telah merumitkan sektor perniagaan dan perdagangan kerana ekonomi Malaysia sifatnya adalah rentas negeri dan sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai hari ini, tetapi tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard.

Ia termasuk pelanggan dibenarkan makan di restoran, tetapi terhad kepada 4 orang satu meja yang disusun sekurang-kurangnya 2m dengan meja lain dan pengusaha perlu mencatatkan butiran pelanggan seperti nama dan nombor telefon untuk memudahkan pengesanan kontak jika berlaku kes jangkitan Covid-19.

Beberapa perniagaan dan aktiviti membabitkan perhimpunan ramai tidak dibenarkan, termasuk panggung wayang, pusat karaoke, taman tema, bazar Ramadan, karnival jualan, semua bentuk persidangan dan pameran.

Susulan itu, beberapa kerajaan negeri memberi reaksi berbeza, antara Sabah yang tidak akan melaksanakan PKPB, Kedah dan Kelantan menangguhkan pelaksanaan itu sehingga mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri berbincang mengenainya pada minggu ini.

Perak dan Selangor pula tidak membenarkan orang ramai makan di restoran dan pengusaha hanya dibenar menawarkan perkhidmatan bawa pulang, penghantaran serta pandu lalu.

Penjaja tepi jalan dan trak makanan di Selangor hanya dibenarkan beroperasi selepas 12 Mei ini supaya pihak berkuasa tempatan mempunyai masa membuat persediaan penjarakan sosial serta pengesanan kontak.

Khaled yang juga bekas menteri besar Johor berkata, kegagalan Azmin berbincang dan mendapatkan persetujuan semua kerajaan negeri itu akan menjejaskan kewibawaan kerajaan persekutuan dalam menangani fasa pemulihan ekonomi negara.

Beliau turut menyifatkan kegagalan itu sebagai permulaan tidak baik yang akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

“Kabinet Perikatan Nasional mesti mengambil teladan daripada insiden ini. Naratif baru dalam sistem federalisme kita telah muncul.

“Hubungan kerajaan pusat dan negeri menampakkan ‘the new normal’. Zaman di mana semua kebitaraan adalah pada kerajaan pusat telah berakhir.”

 



Comments
Loading...