Parti politik perlu bermuafakat, kasihanilah rakyat
Tidak bolehkah kita semua tunggu sehingga perang menentang Covid-19 dimenangi atau sekurang-kurangnya sehingga krisis pandemik ini berjaya dikawal. Kemudian, usulkanlah apa pun yang mahu diusulkan di Dewan Rakyat. Apa yang ditakutkan? Jika berasa ada cukup sokongan untuk mengubah kerajaan, adalah sokongan itu.
Mohd Hisham Malek
Satu usul sudah dikemukakan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah, mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.
Namun usul itu dilaporkan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berikutan penjelasan yang dinyatakan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan jawatan Perdana Menteri.
Bagi penulis, isu usul percaya atau tidak percaya bukan persoalan ketika ini.
Persoalannya adalah adakah tindakan itu wajar dilakukan semasa negara masih dibelenggu masalah dan krisis lebih besar berbanding siapa yang lebih layak menjadi Perdana Menteri.
Adakah perang melawan Covid-19 yang sudah meragut lebih 100 nyawa di Malaysia dilihat sebagai perkara enteng?
Adakah terdesak benar negara kita mahukan seorang pemimpin baharu ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat berjaya melaksanakan tanggunjawabnya dengan berkesan dalam memimpin kerajaan dan mengetuai ‘perang’ melawan virus maut ini?
Penulis tertanya-tanya kenapa isu usul percaya atau tidak percaya berkaitan kepemimpinan negara tidak ditangguhkan seketika, tunggulah sehingga krisis Covid-19 reda.
Ketika jentera kerajaan bergerak lancar di ‘medan perang’, kenapa tumpuan mereka mahu diganggu dengan isu politik yang tidak berkesudahan sejak dua tahun perubahan kerajaan.
Adakah rakyat peduli siapa pun jadi Perdana Menteri andai ancaman Covid-19 menjadi-jadi semula nanti akibat ketamakan kuasa orang politik yang lebih pentingkan diri sendiri?
Bagaimana pula nanti dengan dasar-dasar ekonomi andai kerajaan tidak stabil akibat gangguan-gangguan yang tidak perlu, sedangkan usaha terbaik perlu digerakkan bagi memulihkan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.
Dalam menghadapi krisis, keputusan penting berkaitan dasar atau apa sahaja yang perlu harus dibuat secepat mungkin, tidak boleh dibebankan kepada pegawai-pegawai kerajaan atau bertawakal mengharapkan keajaiban.
Sebab itu, penulis melihat cubaan pihak-pihak, sama ada PH atau blok tertentu yang mahu menyingkirkan Perdana Menteri melalui usul di Dewan Rakyat sebagai tindakan pentingkan diri sendiri.
Sekali lagi, penulis mahu bertanya. Tidak bolehkah kita semua tunggu sehingga perang menentang Covid-19 dimenangi atau sekurang-kurangnya sehingga krisis pandemik ini berjaya dikawal.
Kemudian, usulkanlah apa pun yang mahu diusulkan di Dewan Rakyat.
Apa yang ditakutkan? Jika berasa ada cukup sokongan untuk mengubah kerajaan, adalah sokongan itu.
Apa yang dikhuatirkan adalah tindakan sebegini boleh menyebabkan Parlimen tergantung dan mungkin memaksa pilihan raya umum diadakan lagi walaupun baru dua tahun rakyat mengundi.
Andai itu berlaku, apa akan jadi kepada rakyat?
Andai ia berlaku ketika perang menentang Covid-19 masih berlanjutan, bagaimana dengan kos rawatan perubatan, pembelian peralatan serta lain-lain keperluan.
Buat masa ini, cubalah bermuafakat, kasihanilah rakyat.