Speaker terima usul undi tak percaya Dr M terhadap Muhyiddin


FMT) – Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul yang dikemukakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk meminta undi tidak percaya terhadap penggantinya, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat pada 18 Mei nanti.

“Satu usul di bawah Mesyuarat 27(3) yang dibangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli yang berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat.

“Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Peraturan mesyuarat 27(3) menyatakan sebarang usul hendaklah dikeluarkan tidak kurang daripada 14 hari, kecuali usul yang dikeluarkan atas kapasiti menteri, maka memadai usul itu dikeluarkan dalam tempoh masa 7 hari.

Usul berkenaan dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad.

Peraturan sama turut menyatakan “jika Tuan Yang di-Pertua puas hati setelah diterangkan kepadanya oleh seseorang Menteri iaitu bagi faedah orang ramai sesuatu usul itu mustahak dibahaskan dengan seberapa segeranya maka memadailah dikeluarkan pemberitahu itu satu hari sahaja terlebih dahulu”

Sebelum ini, Setiausaha Dewan Rakyat pada 17 April lalu mengeluarkan notis kepada semua anggota parlimen mengenai sidang yang akan diadakan pada 18 Mei ini.

Dewan Rakyat yang diadakan itu nanti hanya akan membincangkan rang undang-undang dan usul membabitkan urusan kerajaan sahaja. Bahkan, tidak ada sesi pertanyaan jawab lisan di bawah Peraturan Mesyuarat 22(2) dan 22(5), pertanyaan bertulis dan usul.

Manakala, satu lagi usul yang dibawa oleh Dr Mahathir ditolak speaker, iaitu membuat ketetapan bahawa Yang Di Pertua Dewan Rakyat dikekalkan sehinga Dewan Rakyat dibubarkan.

 



Comments
Loading...