Mahathir jangka PPBM kalah teruk PRU-15 jika tiada gabungan
(FMT) – Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa usaha Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin membawa parti itu ke dalam gabungan bersama Umno dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) tidak akan berlaku.
Beliau berkata, ini susulan kenyataan pemimpin Umno sendiri yang menyebut bahawa parti itu tidak menyertai gabungan bersama PPBM menerusi PN dan gabungan itu tidak berdaftar.
“Kita diberitahu oleh Umno bahawa tidak pernah mereka janji untuk ada satu gabungan bersama PPBM. Mereka hanya sokong Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk menjatuhkan kerajaan PH. Itulah sahaja sokongan yang diberi. Sokongan ini secara individu.
“Umno sendiri ada pendirian lain iaitu, mereka tidak ada dalam PN dan PN tidak wujud sama sekali, tidak didaftar. Jadi saya hairan apa dia kerajaan Muhyiddin ini? Kalau nak kata kerajaan PN, PN tidak ada,” katanya dalam ucapan sempena sambutan ulang tahun kedua kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14 hari ini..
Beliau juga menjangka PPBM akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang jika ia tidak berada dalam satu gabungan bersama parti lain dalam kerajaan sekarang, termasuk ditolak oleh PH.
Katanya, apabila Umno sendiri mengatakan mereka tidak bergabung dalam PN maka ia bermakna parti itu boleh bertanding di mana-mana sahaja kawasan yang ditandingi oleh PPBM.
“Bagi ahli PPBM saya nak peringatkan apabila mereka berpecah menjadi 2 kumpulan, satu menyokong Muhyiddin untuk tubuh kerajaan, mereka harus sedar janji Muhyiddin mengadakan gabungan dengan Umno dan PAS tidak ada. Tak wujud.
“…jadi apa kedudukan PPBM, di satu pihak mereka tidak dapat sokongan daripada Umno, di pihak lain mereka tak dapat sokongan dengan PH. Jadi tinggal PPBM terkontang-kanting, besar kemungkinan PPBM akan kalah teruk,” katanya.
Katanya, kekalahan teruk PPBM, sekali gus menghilangkan harapan orang Melayu untuk menggantikan Umno dengan parti Melayu lain.
“Harapan orang Melayu untuk menggantikan Umno dengan parti Melayu yang lain akan hilang. Kita harus ingat kita tubuh PPBM bukan sebagai parti campuran seperti parti lain, kita tubuh PPBM untuk Melayu dan Bumiputera kerana Umno tidak lagi mengutamakan Melayu dan Bumiputera,” katanya.