Tuduhan C4 terhadap Menteri Kesihatan berniat jahat


Cynthia Gabriel dari C4

(Berita Harian) – Tuduhan mendakwa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, mempunyai kaitan dengan syarikat Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) yang memperoleh kontrak perolehan darurat bagi pelaksanaan ‘Lab Maligation Solution For COVID-19’ tidak benar, berniat jahat dan bersifat ‘pembunuhan karakter’.

Pejabat Menteri Kesihatan dalam kenyataan hari ini, menegaskan Dr Adham tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan perniagaan dalam KJSB atau pemegang saham syarikat terbabit.

“Perlu ditegaskan menteri tidak pernah memberi sebarang arahan kepada pegawai kementerian agar meluluskan pemberian kontrak kepada KJSB atau mana-mana syarikat.

“Semua urusan pembelian dan perolehan oleh KKM sepanjang perang menentang COVID-19 ini dilakukan mengikut prosedur dan tatacara kewangan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha kementerian dan pegawai yang bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.

Difahamkan, Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dalam satu kenyataan mendakwa KJSB mendapat kontrak secara perolehan darurat bagi pelaksanaan Lab Mitigation Solution For COVID-19 terbabit.

C4 mendakwa antara syarikat yang menerima kontrak daripada KKM adalah KJSB yang mana dua daripada anggota lembaga pengarah syarikat berkenaan didapati orang sama dalam syarikat pemegang saham badan yang mengendalikan rangkaian klinik Dr Adham.

Menurut kenyataan sama, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) membuat provokasi umum tentang kemungkinan Dr Adham mempunyai kepentingan dalam KJSB berdasarkan kedudukan Iskandar Mirza Ahmad yang pernah menjadi pengarah South Asia Noble Sdn Bhd (SANSB) yang mempunyai kaitan dengan pemilik KJSB.

“Dakwaan itu jelas berniat jahat dan mendorong serta mencipta sangkaan buruk rakyat terhadap menteri kerana Iskandar Mirza sudah lama meninggalkan SANSB.

“Menggunakan fakta Iskandar Mirza sebagai bekas pekerja (Pengarah SANSB) bagi mengaitkan menteri dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan syarikat lain sangat tidak masuk akal,” katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan Iskandar Mirza menyertai SANSB dari 18 Julai 2007 hingga 30 Januari 2015 sementara Tan Boon Keong dan Tan Jiat Jui menyertai SANSB hanya dari 30 Januari 2015.

“Sungguhpun begitu, menteri mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berjalan dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya.

“Adalah penting untuk sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat penyelewengan pembelian oleh KKM menyerahkan bukti dan dokumen kepada SPRM, bukannya melempar tuduhan rambang sehingga menimbulkan fitnah dan gossip tidak benar,” katanya.

 



Comments
Loading...