Kit Siang sah ada usaha undi tak percaya terhadap Muhyiddin
Lim Kit Siang
Perkara yang bertanggungjawab memendekkan sidang Parlimen pada 18 Mei ini bukanlah Covid-19, tetapi yang ditakuti oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah usul tidak percaya kepada beliau yang dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir menyatakan yang beliau mencadangkan usul tersebut untuk memastikan sama ada Muhyiddin benar-benar mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat seperti yang dikatakan beliau semasa beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020. Tetapi, jelas dapat dilihat daripada tindak-tanduk kerisauan Muhyiddin yang beliau kini masih tidak mempunyai majoriti yang dikatakan.
Pemendekan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei kepada hanya mengadakan istiadat pembukaan Parlimen dengan penyampaian Titah Diraja sahaja ini bertentangan dengan peraturan mesyuarat.
Perdana Menteri telah bertindak di bawah fasal 11(2) dan 15(2) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Fasal 11(2) memerlukan notis sekurang-kurangnya 28 hari diberikan sebagai pemberitahuan takwim persidangan Dewan dan tidak ada sebarang kaitan dengan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan yang disusun mengikut fasal 14 Peraturan Mesyuarat. Manakala fasal 15(2) pula tidak berkaitan langsung memandangkan ia menyatakan bahawa “hal ehwal kerajaan” disusun oleh pihak kerajaan.
Hujah yang mengatakan pemendekan persidangan ini selari dengan situasi semasa Covid-19 dalam negara yang masih berada di dalam fasa pemulihan juga tidak kukuh.
Pada 17 April, semasa notis pertama sidang Parlimen dikeluarkan, jumlah kenaikan harian kes Covid-19 berada di dalam julat tiga angka, di antara 110 dan 184 kes dalam minggu sebelumnya. Manakala pada 12 Mei pula, semasa Perdana Menteri menulis surat kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat untuk memendekkan sidang, hanya 16 kes baharu direkodkan. Ini adalah angka terendah yang pernah dicatatkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac — yang merekodkan peningkatan 117 kes sehari — dan pada minggu sebelumnya, negara kita hanya mencatatkan peningkatan kes baharu di dalam julat dua angka.
Bolehkah Perdana Menteri menjelaskan kepelikan ini?
Adakah Perdana Menteri cuba mengatakan yang sehinggalah negara kita memenangi perjuangan melawan wabak ini — dengan sifar kes baharu dicatatkan setiap hari — Parlimen akan terus dikunci dan usul Dr Mahathir akan terus disekat?
Pengarah Bencana Kesatuan Kesihatan Sedunia Dr Mike Ryan baru sahaja menyatakan yang wabak ini mungkin akan kekal selamanya.
Dalam memberikan amaran daripada sebarang cubaan untuk menjangkakan bilakah wabak ini akan beredar, beliau mengatakan, walaupun vaksin ditemui, usaha untuk membendung penularan wabak ini tetap akan memerlukan usaha meluas.
Hampir 300,000 nyawa telah terkorban di seluruh dunia akibat wabak ini dan lebih daripada 4.4 juta kes positif telah dicatatkan.
Adakah Parlimen Malaysia akan dikunci selamanya, dengan penelitian dan semak imbang Parlimen disekat untuk membenarkan kembalinya penyalah-gunaan kuasa, rasuah berleluasa, pengembalian kleptokrasi, dan pencabulan hak asasi manusia?