Mukhriz dan PH Kedah tersungkur, menteri besar kerajaan PN baru angkat sumpah esok
(Buletin TTKM) – Majlis angkat sumpat menteri besar dan kerajaan baru Kedah di bawah Perikatan Nasional akan diadakan pada dua petang esok di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Buletin TTKM difahamkan pada ketika ini, raptai dan persiapan bagi majlis angkat sumpah Menteri Besar baharu sedang giat dilakukan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah di wisma tersebut.
Dalam satu notis kepada media daripada sumber polis, pada pukul tiga petang esok, setelah ketibaan Sultan Sallehuddin, setiausaha kerajaan negeri akan melafazkan surat pengisytiharan pelantikan menteri besar yang baru.
Difahamkan Mukhriz dan PAS juga akan mengadakan sidang media di Alor Setar esok
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka dilantik sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14 menggantikan Dato Seri Mukhriz Mahathir, yang dua kali tersungkur dari memegang jawatan tersebut.
Sebelum ini, Mukhriz berkata mesyuarat exco telah memutuskan bahawa untuk memastikan Menteri Besar masih mempunyai sokongan majoriti ataupun tidak, Sultan Kedah akan disyorkan bahawa perkara itu ditentukan melalui sidang dewan.
“Saya ingat cara itu lebih terbuka dan pihak pambangkang sekiranya mereka berhasrat boleh mengusulkan undi tidak percaya atau pihak kerajaan boleh usulkan undi percaya” – Dato Seri Mukhriz Mahathir
Mukhriz kehilangan sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah setelah dua adun PKR, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin, keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kemudian disusuli dengan empat Adun Bersatu.
Semalam, kesemua 36 Adun Kedah telah menghadap Sultan Sallehuddin untuk baginda memutuskan siapakah yang mendapat sokongan majoriti dewan sekaligus menjadi menteri besar yang baharu. 23 Adun mewakili Perikatan Nasional mengadap baginda pada sebelah pagi, manakala selebihnya mewakli Pakatan Harapan melakukannya pada sebelah petang.