Anwar tak hadir sidang media dengan Dr M untuk ‘elak dipergunakan’ – MP
(Malaysiakini) – Presiden PKR, Anwar Ibrahim, tidak menghadiri sidang media bersama Pakatan Harapan (PH) dengan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad serta Warisan di Putrajaya hari ini.
Bercakap sebagai sumber yang tidak didedahkan, seorang wakil rakyat PKR memberitahu Anwar mendapat jemputan untuk menghadiri sidang media berkenaan – yang diadakan beberapa jam selepas sidang parlimen ditangguhkan.
Bagaimanapun, katanya, Anwar enggan menghadiri sidang media tersebut.
“Anwar berkata Tun (Mahathir) meminta mereka menghadiri sidang media bersama itu tetapi Anwar memberitahu pemimpin PKR bahawa dia tak mahu dipergunakan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Bagaimanapun Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, yang dihubungi berkata ahli parlimen Port Dickson itu perlu menghadiri sesi temu bual dengan New York Times.
Anwar, kata Fahmi, meminta pemimpin lain dalam PH meneruskan sidang media tersebut tanpa kehadirannya.
Fahmi bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa tiada wakil daripada PKR sama sekali menghadiri sidang media berkenaan.
Menurut ahli parlimen Lembah Pantai itu, Anwar akan mengeluarkan kenyataan bersama dengan pemimpin pembangkang lain kemudian.
Selain Mahathir, sidang media berkenaan dihadiri semua parti gabungan PH. Mohamad Sabu mewakili Amanah manakala Lim Guan Eng mewakili DAP. Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal turut hadir.
Sementara itu sidang media tersebut dikendalikan oleh Mahathir. Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir, pula duduk kerusi yang dipercayai disediakan untuk wakil PKR.
Ia diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana sebagai reaksi pembangkang kepada sidang parlimen pada pagi tadi. Beberapa ahli parlimen – kecuali dari PKR – turut hadir dalam auditorium berkenaan.
Ditanya mengenai ketiadaan Anwar dalam sidang media itu, Mahathir memberitahu, presiden PKR berkenaan ada menghantar kenyataan namun tidak dapat menghadirinya.