PPBM masih sebahagian PH, kata Dr M


(FMT) – Dr Mahathir Mohamad menegaskan PPBM masih sebahagian Pakatan Harapan, bertentang dengan apa yang diumumkan Presiden Muhyiddin Yasssin sebelum ini.

Katanya, majlis pimpinan tertinggi parti itu tidak pernah membuat keputusan keluar Pakatan Harapan, dan apa yang dikatakan sebelum itu hanyalah “cadangan”.

“Apa yang dilakukan Muhyiddin sebagai presiden tidak melalui proses biasa,” kata Mahathir pada sidang media bersama pimpinan Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

“MPT tidak pernah buat keputusan keluar daripada PH.”

Merujuk kepada rakaman audio mesyuarat MPT sebelum perubahan kerajaan, Mahathir berkata Muhyiddin memberikan masa 1 minggu kepadanya untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Tapi sebelum genap 1 minggu, dia sudah ambil tindakan tidak ada lagi dalam PH. Ini bertentangan dengan perlembagaan parti,” katanya.

Begitu juga halnya dengan pengumuman menyertai Perikatan Nasional. “Sebelum ini Umno kata tidak ada PN tapi Muhyiddin sertai PN sebelum ia ditubuhkan, dan menyertainya tanpa mendapat keputusan MPT.”

“Ini bertentangan dengan dasar perlembagaan parti,” katanya.

Turut bersama Mahathir pada sidang media hari ini Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Warisan, Shafie Apdal.

Ditanya mengenai ketiadaan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, yang juga presiden PKR, Mahathir menjawab: “Dia sudah tandatangan kenyataan bersama”.

 



Comments
Loading...