Dr Xavier Jayakumar hina Agong


(Harakah) – PAS mendesak jawatankuasa Parlimen mengambil tindakan tatatertib terhadap kenyataan Dato’ Dr Xavier Jayakumar yang menyifatkan sidang Dewan Rakyat pada Isnin kelmarin sebagai ‘sampah’.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata bekas Menteri Pakatan Harapan (PH) itu tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Satu kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang ‘law maker’ dan juga sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dalam politik.

“Malah pernah memegang jawatan dalam pentabiran kerajaan Negeri Selangor selama beberapa tahun dan pernah menjadi menteri semasa pemerintahan PH,” kata Idris ketika dihubungi HarakahDaily, pagi tadi.




Idris yang juga mantan Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, tindakan kerajaan mengadakan persidangan Dewan Rakyat pada Isnin lalu dengan hanya Titah Diraja sahaja bukan tindakan suka-suka.

Sebaliknya ulas Idris, ia melibatkan isu kesihatan dan keselamatan banyak pihak dan tindakan yang dibuat oleh kerajaan adalah atas nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan dirujuk dengan hal ehwal perundangan negara ekoran pandemik Covid-19.

“Bukan sebab apa pun, mereka sengaja nak mencetuskan isu, padahal pada bulan Julai nanti Dewan Rakyat akan bersidang selama 15 hari bermula pada 13 Julai nanti.

“Masa itu nak bahas, bahaslah. Serba tidak kena setiap apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

“Contoh semasa kerajaan isytihar ‘lockdown’ mereka bantah, serba tidak kena dari puak seperti ini,” kata Idris.

Beliau turut menyifatkan Ahli Parlimen Kuala Langat itu sebagai tidak menghormati Yang Di-Pertuan Agong yang mengingatkan supaya semua ahli politik tidak mengheretkan negara ke kancah politik tidak menentu.

“(Xavier)Tidak hormat kepada Yang Di-Pertuan Agong, sedangkan Yang Di-Pertuan Agong sebenarnya simbol kepada perpaduan rakyat dan negara, ini (kenyataan Xavier) sepatutnya tidak patut,” tambahnya.-

 



Comments
Loading...