Melabel ‘halal, haram’ ikut suka Pakatan Harapan


Suara Merdeka

BILA diri sendiri buat, itu dipanggil HALAL. Kalau orang lain lakukan perkara sedemikian, itu namanya HARAM.

Bila orang lain buat, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Facebook miliknya beberapa hari lepas:

“Ini ghanimah harta seolah-olah rampasan dalam peperangan dia bahagikan. Ini ternyata sangat buruk dan merosakkan sistem dan pemikiran pimpinan.”

Tapi kenapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai Anwar buat perkara itu dahulu sehingga sanggup lagi melanggar Janji 22 manifesto PH mereka yang menyebut:

“Menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan (GLC) setaraf dengan piawaian antarabangsa’ dan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.”

Mengapa Belang terpaksa ungkit balik isu ini? Sebabnya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab perkara ini pada 7 Oktober 2019 semasa PH berkuasa, boleh pula dengan selamba beliau mempertahankan tindakan kerajaan PH membuat lantikan politik bagi jawatan penting dalam beberapa GLC.

Dr Mahathir berterus terang, itu bagusnya. Kata beliau, kerajaan pimpinannya akan meneruskan dasar melantik mereka yang banyak berjasa kepada parti dan memenangkan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14, berkebolehan serta berkelayakan.

“Inilah masalahnya, kita tidak patut bagi mana-mana jawatan kepada orang yang bekerja keras menangkan parti, tetapi yang dapat nikmat jawatan adalah mereka yang tidak membantu parti.

“Apabila ini berlaku, maka kecewalah mereka yang bertungkus lumus membantu PH. Atas sebab itulah, kita pilih orang yang ada kaitan sikit dengan parti sebab ada kelayakan,” katanya kepada media.

Bahkan, Menteri Kewangan waktu itu, Lim Guan Eng mempertahankan pelantikan ahli politik PH yang menyertai entiti GLC, sambil menekankan ia tidak berleluasa dan bukan pada peringkat kebangsaan.

Lebih selamba lagi, kata Setiausaha Agung DAP, ia bukan isu kerana GLC berkenaan ditadbir secara profesional.

Kerana itu rakyat tidak pelik banyak GLC semasa PH berkuasa sebelum ini didominasi kalangan orang politik dari DAP.
Antaranya:

1. Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Malaysian Timber Industry Board (Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, MTIB) pada Ogos 2018.
2. Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya
Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada November 2018.
3. Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Labuan Port Authority (Lembaga Pelabuhan Labuan, LPA) pada Februari 2019.
4. Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Sustainable Energy Development Authority (Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari, SEDA) pada Julai 2019.
5. Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau, yang telah dilantik sebagai Pengerusi National Institute of Occupational Safety and Health (Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, NIOSH) pada Oktober 2019.
6. Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Port Klang Authority (PKA) (Lembaga Pelabuhan Klang, PKA) pada Mei 2019.
7. Dr John Brian Anthony, yang merupakan Ahli Jawatankuasa CEC DAP dan Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Bintulu Port Authority (Lembaga Pelabuhan Bintulu, BPA) pada November 2018.
8. Jeffrey Chew Gim Eam, yang merupakan mantan Penolong Bendahari DAP Pulau Pinang, yang telah dilantik sebagai Pengerusi Penang Port Commission dan Pengerusi Penang Port Commission Teluk Ewa (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Teluk Ewa, PPC dan PPC Teluk Ewa) pada Mac 2019.

Rakyat semasa era kerajaan PH terus dihidangkan dengan tindak tanduk melanggar janji manifesto gabungan parti-parti politik mereka dengan pelantikan Pengerusi PH Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkuat kuasa 1 Mac 2019.

Begitu juga dengan pelantikan Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga berkuat kuasa 1 Mac tahun lepas.

Ramai lagi, antaranya aktivis undang-undang dari Parti Bersatu, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti tersebut, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi pula mengetuai Mara Corporation Sdn Bhd dan Datuk Dr. Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi UNITEK-Mara.

PH turut melantik ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga Timbalan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar PPBM, Wan Saiful Wan Jan sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dr Faiz Naaman (Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM dan Exco ARMADA Nasional) di Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan isteri Setiausaha Politik Perdana Menteri dan Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Junaidah Kitting sebagai Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia.

Nama-nama lain seperti Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil dengan jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah sebagai Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PAN Nasional, Mazlan Aliman sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Jadi, adakah pentadbiran PH `jauh lebih baik’ dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru berumur dua bulan setengah dalam melaksanakan reformasi institusi?

Dan adakah PH boleh bangkit semula dan melakukan sesuatu yang lebih baik yang sepatutnya mereka yang rintis dahulu?”

Wallahualam.

 



Comments
Loading...