Misi jatuhkan Muhyiddin: GPS sasaran baharu Mahathir?
Zulkiflee Bakar, Edisi 9
TIADA apa yang mengejutkan apabila baru-baru ini Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnei Liu membuat kenyataan menyalahkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan krisis politik yang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa pada Februari.
Mungkin penyokong Mahathir marah tetapi itulah kebenaran atau ayat paling tepat – itulah sikap DAP terhadap Mahathir selama ini — mereka sentiasa konsisten dalam pendirian serta perjuangan politik, tidak seperti Ahli Parlimen Langkawi itu.
Jika kita mengikuti sejarah hubungan Mahathir dengan DAP, ia hanya berkaitan soal kerjasama politik bagi menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Justeru apabila Mahathir bertindak menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga melemahkan lagi kuasa politik orang Melayu dan bersedia bergabung dalam PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia dialu-alukan oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Mereka bukannya mahu sangat kepada individu yang menjadi musuh ketat politik satu ketika dahulu tetapi disebabkan Mahathir mempunyai pengaruh, maka DAP bersedia menerima beliau, dalam bahasa mudah, mahu ‘memperalatkan’ pengaruh Mahathir bagi memperolehi kuasa politik.
DAP memahami betapa benci dan terujanya Mahathir untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN ketika itu. Kesempatan ini diambil sepenuhnya oleh DAP. Dalam soal ini, jangan salahkan DAP kerana itulah politik iaitu bijak mengambil kesempatan, apatah lagi bila ada pemimpin yang ‘salah strategi’ seperti Mahathir.
Mengimbas kembali krisis politik pada 24 Februari lalu, selepas Mahathir meletakkan jawatan, DAP merupakan parti paling awal dalam PH yang merayu supaya Mahathir menarik balik tindakan tersebut.
Bagaimanapun dua hari kemudian, parti itu menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri manakala sekumpulan ahli Parlimen Bersatu, UMNO, Pas, MCA dan MIC bersetuju mencalonkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Malah DAP sepakat dengan PKR dan Amanah menolak cadangan Mahathir yang mahu menubuhkan Kabinet Perpaduan – yang memberikan kuasa penuh kepada beliau melantik anggota Kabinet tanpa mengira parti.
Memetik analogi seorang pemerhati politik yang juga seorang ahli perniagaan, “Apabila Muhyiddin mencampakkan tuala ke dalam gelanggang selepas Mahathir berkata, beliau tiada masalah jika Muhyiddin dipilih sebagai Perdana Menteri, Anwar turut berbuat demikian.”
“Anwar tahu tanpa sokongan sokongan parti daripada Sarawak tidak mungkin beliau akan menang kerana parti-parti di negeri itu sudah menyatakan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang ada kaitan dengan DAP,” kata ahli perniagaan berkenaan.
Berikutan itulah kita menyaksikan tindakan politik penuh dramatik oleh pemimpin-pemimpin PH apabila mereka mencalonkan kembali Mahathir sebagai Perdana Menteri beberapa jam sebelum ketua-ketua parti politik menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 29 Februari.
Pencalonan itu dibuat selepas beberapa pemimpin PH termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengadakan pertemuan dengan ahli politik berusia 95 tahun itu di kediamannya.
Anwar yang tidak hadir dalam pertemuan tersebut menyatakan, keputusan mencalonkan Mahathir kerana mengutamakan kepentingan negara berbanding agenda peribadi.
Bagaimanapun usaha mereka melakukan ‘u-turn’ pada saat-saat akhir gagal, Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8 dengan sokongan 114 ahli Parlimen seperti mana dinyatakan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Walaupun Anwar kini dilihat redha dengan apa yang berlaku dan sudahpun dilantik sebagai Ketua Pembangkang, Mahathir pula sedang ‘menggelupur’ mahu menjatuhkan Muhyiddin. Mahathir tahu tanpa sokongan parti-parti daripada Sarawak, misi tersebut tidak akan berjaya.
Oleh itu dikhabarkan bekas Perdana Menteri itu sedang mengatur langkah dengan menggunakan pengaruh tokoh tertentu di bumi kenyalang bagi menarik sokongan GPS. Persoalannya adakah usaha itu akan berjaya memandangkan GPS sudah menegaskan, tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang ada kaitan dengan DAP?
“Saya percaya pemimpin-pemimpin politik Sarawak tidak bodoh untuk terperdaya dengan gerakan politik Mahathir,” kata pemerhati politik tersebut.
Sememangnya GPS mempunyai angka ahli Parlimen yang cukup signifikan iaitu 18 kerusi. Ketika ini selain GPS, Muhyiddin turut mendapat sokongan daripada Bersatu (32), BN (42), Pas (18), Bebas (1), PBRS (1), PBS (1) dan STAR (1) dan jika Mahathir berjaya menarik sokongan GPS, maka Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pasti akan tumbang.
Mahathir sememangnya mengharapkan sokongan GPS kerana beliau tidak boleh bergantung kepada mana-mana ahli Parlimen daripada Bersatu, UMNO atau bekas PKR berpaling tadah menyokong beliau. Mereka pun tidak akan berbuat demikian selagi Mahathir terus mempertahankan kerjasama politiknya dengan DAP.
Tetapi akibat sudah dibaluti perasaan benci yang mendalam terhadap Muhyidin, PN khususnya UMNO, Mahathir bersedia melakukan apa sahaja, biarpun tindakan untuk mendapatkan sokongan parti-parti Sarawak hakikatnya hanya akan menguntungkan DAP sekali lagi.
Ia kerana parti-parti Sarawak hanya ada 18 kerusi sedangkan DAP paling dominan dalam pakatan pembangkang iaitu 42 kerusi.
Sebab itulah penulis percaya, parti-parti di Sarawak akan terus konsisten menolak DAP seperti mana ditegaskan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg pada 8 Mac lalu:
“Kita tidak dapat bekerjasama dengan DAP kerana mereka berniat tidak baik dan telah menuduh Sarawak akan bankrap. Mereka (DAP) Sarawak minta tolong dan merayu perkara yang lepas dilupakan… mana boleh dilupakan begitu sahaja.”
Mahathir tahu hakikat ini tetapi beliau dilihat terlalu sayangkan DAP, biarpun hakikatnya DAP tidaklah begitu sayang kepada beliau.
DAP lebih selesa dengan Anwar, sebab itulah mereka menyokong penuh Anwar menjadi Ketua Pembangkang bukannya Mahathir dan sehingga ke hari ini, mereka hanya sepakat untuk menjatuhkan Kerajaan PN sahaja tetapi langsung tidak menyatakan akan mencalonkan semula Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Apa yang dilakukan oleh Mahathir ketika ini hanya demi melepaskan dendam politiknya kepada Muhyiddin dan UMNO, tidak lebih daripada itu. Dalam usia 95 tahun, Mahathir bak kata satu sumber “sudah tidak ada sengat politik lagi.”
Tanpa sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen daripada parti sendiri, kita pasti tahu siapa yang akan dominan dalam kerajaan nanti jika PH kembali berkuasa.