Muhyiddin tidak akan bubar Parlimen, kerana ia akan hancurkan Bersatu: Khalid Samad


(Malaysia Dateline) – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan membubarkan Parlimen buat masa sekarang kerana jika beliau berbuat demikian bermakna dia membunuh parti beliau sendiri iaitu Bersatu.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, membubarkan Parlimen buat masa sekarang bermakna membubarkan Bersatu.

Khalid mengulas desas desus yang mengatakan Muhyiddin akan mencadangkan kepada Yang Dipertuan Agong agar Parlimen dibubarkan selepas wabak Covid-19 reda ekoran kegagalan beliau untuk mengekalkan kerajaan yang ada.

“Bubar parlimen, Bersatu akan hancur. Yang nak bubar Parlimen adalah Umno dan Pas, bukan Muhyiddin,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Ini kerana, kata beliau, kerusi yang ditandingi oleh Bersatu akan bertindih dengan kerusi yang hendak ditandingi oleh Pas dan Umno.

“Selama ini, Umno dan Pas berebut kerusi yang sama. Kalau tambah Bersatu satu lagi, bermakna tiga parti berebut kerusi sama,” katanya.

Menurut beliau, antara kebimbangan Muhyiddin juga sekarang sehingga tidak berani membenarkan undi tidak percaya dibincangkan di Dewan Rakyat adalah kemungkinan Umno dan Pas mengkhianati beliau.

“Muhyiddin bimbang Umno dan Pas khianat beliau jika benarkan undi tidak percaya sebab mereka hendak Parlimen dibubarkan,” kata beliau.

Menurut Khalid, PH bersedia untuk hadapi mana-mana sahaja samada undi tidak percaya di Parlimen atau pilihan raya semula.

“Nak bubar atau tidak, kita sedia hadapi. Kita yakin PH akan cukup majoriti jika undi tidak percaya diadakan,” kata beliau.

Khalid juga yakin, jika Parlimen di bubarkan, ramai ahli Parlimen yang bertanding atas tiket PH sebelum ini akan kembali kerana mereka tidak akan yakin menang bertanding atas tiket PN atau lain-lain parti.

“Jika bubar Parlimen, saya yakin ramai MP yang risau akan hilang kerusi… jadi mereka akan kembali kepada PH,” kata beliau.

 



Comments
Loading...