Saya tak tahu ura-ura 129 ahli Parlimen ‘sokong’ Dr M, kata Azmin


(FMT) – Menteri kanan, Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak tahu khabar angin mengenai “rampasan kuasa” oleh Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional dengan sokongan 129 ahli Parlimen.

Beliau berharap semua ahli Parlimen akan mendengar nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk tidak mencetuskan satu lagi pergolakan politik.

Katanya, mereka perlu sedar PN berkuasa disebabkan peletakan jawatan Mahathir.

“Saya tak tahu dari mana 129 (ahli Parlimen) ini datang, tetapi mari tengok titah diraja Agong di Parlimen baru-baru ini.

“Agong meminta Mahathir untuk kekal sebagai PM, Mahathir menegaskan mahu letak jawatan. Dan apabila jawatan PM itu kosong, Agong terpaksa mengisinya dengan seseorang yang dianggap terbaik.

“Pemilihan itu dibuat secara terbuka dan telus seperti dalam Perlembagaan Persekutuan. Agong mendapati Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

“Nak salah siapa kalau itu kehendaknya? Maka bila berlaku kekosongan ia perlu diisi, itu sahaja,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman hari ini.

Azmin berkata, rakyat tidak patut diheret ke dalam politik “sehingga mereka menderita”.

“Ada individu yang gila kuasa dan mahu menjadi perdana menteri.

“Cukup cukuplah…jangan salahkan Perikatan Nasional kerana apa yang berlaku (punca) kerana ada seorang perdana menteri meletakkan jawatan.”

Beliau berkata, sekarang masanya untuk memfokuskan khidmat kepada rakyat.

Terdahulu, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily melaporkan akan berlaku “rampasan kuasa” pada Julai ini dengan Mahathir memerlukan “hanya 3 kerusi” untuk berkuasa semula.

Akhbar itu memetik sumber yang mendakwa 3 ahli Parlimen memegang jawatan menteri sedang merancang untuk lompat ke Pakatan Harapan.

Katanya, PH akan memiliki sokongan 129 daripada 222 ahli Parlimen.

 



Comments
Loading...