Saya lakukan apa yang Mahathir mahu – Hamzah Zainuddin
(Malaysiakini) – Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin yang memihak kepada Muhyiddin Yassin, hari ini mendakwa bahawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah berulang kali meminta pemimpin parti itu supaya mencari jalan meninggalkan Pakatan Harapan (PH).
“Apa yang saya lakukan bukan untuk pecah-belahkan parti tapi untuk menentukan apa yang Tun (Dr Mahathir) sendiri mahu.
“Dan Tun mahu supaya kalau boleh pemimpin-pemimpin Melayu Bersatu kembali. Itu saya lakukan.
“…ada beberapa perkara dia minta saya lakukan,” kata Hamzah pada sidang media yang diadakan kurang 24 jam setelah status Mahathir sebagai anggota Bersatu dibatalkan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa dirinya mendalangi komplot untuk menyingkirkan Dr Mahathir dan penyokongnya dari Bersatu, serta memecah belahkan parti itu.
Hamzah berkata permintaan Mahathir itu disampaikan kepada pemimpin parti termasuk anaknya, Mukhriz, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Perak Faizal Azumu, dalam pertemuan yang diadakan di rumahnya.
“…nak cari jalan bagaimana untuk Bersatu keluar dari PH. Ini permintaan (Dr Mahathir) dan saya kata okay kita sama-samalah.
“The rest is history bila Tun letak jawatan,” kata Hamzah yang disertai oleh pemimpin Bersatu yang menyokong Muhyiddin termasuk Rina Harun dan Radzi Jidin di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, hari ini.