RM600,000 dirampas dari rumah dua anggota Armada
(Malaysia Dateline) – Susulan laporan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM600,000 dari rumah dua anggota Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
The Star melaporkan wang di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur itu dipercayai milik Bersatu.
Pengarah siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali dipetik berkata, kedua-dua anggota Armada itu disoal siasat pada 5 Jun lalu.
Laporan itu menambah SPRM juga merampas sebuah kereta berharga RM100,000 milik pihak ketiga yang dipercayai telah dibeli menggunakan dana yang disalahgunakan.
Terdahulu, Syed Saddiq memberitahu kecurian yang berlaku di rumahnya pada 29 Mac lalu adalah milik peribadi beliau dan ibu bapanya.
Katanya, mereka membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang itu yang mana RM90,000 adalah miliknya; RM50,000 (ibunya) dan RM70,000 (bapanya).
Menurutnya, majoriti wang itu dikeluarkan bagi tujuan pengubahsuaian rumah yang mereka miliki bersama dan juga untuk tujuan peribadi.