UMNO dan Pas disaran ketepikan MN, hayati PN – Rahim


(Astro Awani) – UMNO dan Pas sepatutnya membuat keputusan secara waras dan rasional dengan mengenepikan Muafakat Nasional (MN) serta segera menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai salah satu komponen kanan yang penuh komited terhadap piagamnya demi masa depan rakyat, agama dan negara.

Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, UMNO juga mestilah memilih PN dan bukannya MN sebagai landasan dan jambatan untuk mencapai hasrat murni berkenaan sekali gus membuktikan tanggungjawab parti itu untuk mengembalikan penerimaan rakyat sepenuhnya kepada mereka.

“Apa yang tidak jelas adalah pendirian UMNO yang menolak gagasan PN tetapi ingin setakat menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi sahaja.

“Rakyat bingung sama ada taktik ini hanya untuk mendapatkan segala habuan yang kini telah pun diperolehi dan dinikmati UMNO sepuasnya.

“Alasan bahawa UMNO telah terikat dengan MN adalah tidak logik disebabkan muafakat tersebut hanyalah sebuah deklarasi hasrat saja untuk bekerjasama pada masa akan datang,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Isnin.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, tiada perbincangan dibuat mengenai penubuhan gagasan baharu politik digelar PN sehingga ke hari ini.

Jelasnya, Pas juga akan bersama UMNO dalam membuat apa-apa keputusan berhubung dengan MN.

Dalam pada itu, kata Rahim, penyertaan UMNO dalam PN kini adalah lebih realistik, logik dan praktikal.

Tambahnya, ia disebabkan UMNO sendiri telah berpeluang melayakkan parti itu untuk berkecimpung di dalam koridor kuasa di peringkat negeri dan negara.

“UMNO sepatutnya berterima kasih dan bersyukur ke hadrat Allah di atas posisi baru mereka ini dan tanpa ragu sepatutnya mendukung bukan setakat Perdana Menteri secara peribadi sahaja tetapi juga atas keikhlasan dan pengorbanan yang dibuat Muhyiddin untuk akomodasi UMNO dalam koridor kuasa ketika masih banyak pihak lagi yang mengecam dan memperlekehkan UMNO di merata tempat.

“Pengorbanan dan keikhlasan Perdana Menteri seperti ini tidak boleh dipandang enteng dan disia-siakan oleh UMNO tanpa punyai rasa hormat kepada orang yang berjasa kepadanya,” tegasnya.

 



Comments
Loading...