Menteri Sabah didakwa atas perjanjian tanah Risda esok


(FMT) – Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok atas perjanjian pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Naib presiden Warisan itu mengesahkan beliau mendapat waran daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hadir di mahkamah pada 8 pagi.

Beliau ke pejabat SPRM di sini pada 2.50 petang tadi untuk disoal siasat berhubung projek konsesi jalan dan keluar sejurus sebelum 6 petang.

Semalam, beliau disoal siasat SPRM selama 7 jam.

Anthony berkata, beliau akan terus berjuang untuk kebenaran dan mendakwa pertuduhan itu bermotifkan politik.

“Saya tiada masalah untuk hadir esok. Jika mereka mahu tahan saya, saya bersedia. Ini ialah kes lama yang sudah selesai.

“Mereka boleh buat apa saja yang mereka mahu, tetapi saya akan terus berjuang. Kita ialah orang Sabah dan tidak akan diperbodohkan lagi.”

Anthony ditahan SPRM pada Januari 2018 untuk membantu siasatan ke atas perjanjian pembelian tanah kelapa sawit bernilai RM155 juta di daerah Tongod, Sabah.

Beliau kemudiannya dibebaskan dengan jaminan.

 



Comments
Loading...