Najib dibenarkan periksa barang dirampas dari pangsapuri Pavilion


(FMT) – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri Najib Razak yang memohon untuk memeriksa barangan yang dirampas polis daripada sebuah unit pangsapuri mewah pada Mei 2018.

Hakim Muhammad Jamil Hussin mengeluarkan perintah untuk Najib memeriksa barangan itu – termasuk jam, beg tangan, dan cermin mata hitam – selepas mendengar hujah daripada peguam bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah, dan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin.

“Pemeriksaan itu perlu supaya pemohon boleh membela diri,” kata Jamil, dan menambah Najib dibenarkan periksa barangan itu bersama seorang peguam.

Mahkamah bagaimanapun tidak menetapkan tarikh pemeriksaan.

Mahkamah sama juga sebelum ini membenarkan isteri Najib, Rosmah Mansor memeriksa barangan yang sekarang ini disimpan Bank Negara.

Kerajaan mahu melucutkan hak beliau ke atas lebih 12,000 barangan termasuk barang kemas, beg tangan, jam, dan mata asing daripada Obyu Holdings Sdn Bhd atas alasan ia subjek dalam kesalahan pengubahan wang.

Shafee berhujah polis tidak mengikut prosedur dalam serbuan pada 17 Mei 2018 kerana pemilik pangsapuri atau Najib tidak berada di situ ketika itu.

“Polis juga tidak melabel barangan yang dirampas dengan betul. Mereka hanya melabel barang sebagai ‘A1 hingga A32’,” tambahnya.

Beliau juga berkata mahkamah lain dalam prosiding pelucuthakan berasingan membenarkan mereka memeriksa barangan yang dirampas.

“Kami pergi ke Bank Negara dan kami dapati setiap beg rosak kerana polis tulis pada label dengan pena marker,” katanya.

Pada prosiding sama, David Gurupatham, peguam mewakili tukang emas Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berkata mereka memohon lanjutan masa bagi arahan pemeriksaan yang diberikan pada 13 Mac.

“Anak guam saya ketika ini berada di United Kingdom dan tidak boleh ke sini kerana sempadan negara masih tutup,” katanya.

Faten kemudian beritahu pemberita bahawa Najib dan Rosmah boleh periksa barangan itu sambil menunggu wakil Global Royalty tiba dan periksa barangan yang dirampas bersama mereka pada masa lain.

Pihak pendakwaan juga beritahu mahkamah mereka tidak akan mencabar permohonan pelucuthakan terhadap pangsapuri Pavilion Residences.

Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Shukri Hussain berkata mereka mahu teruskan dengan usaha melucut hak ke atas barang kemas, jam, beg tangan, dan wang tunai berjumlah lebih RM600 juta yang ditemui polis di unit itu.

 



Comments
Loading...