Muhyiddin akan tentukan 6 wakil rakyat ada kes mahkamah dilepaskan


(Malaysia Dateline) – Tun Mahathir Mohamad mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memastikan enam orang wakil rakyat yang sedang di dalam perbicaraan mahkamah tidak akan didapati bersalah.

Malah katanya sewaktu Muhyiddin rancang untuk terima Umno dan Najib Razak sebagai rakan dalam parti baru, beliau berjanji tidak akan sentuh perbicaraan kes-kes Najib dan lain-lain kes yang melibatkan beberapa pemimpin Umno dan perbicaraan akan diteruskan.

Enam wakil rakyat berkenaan adalah Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Sri Bung Moktar Radin.

“Sekarang jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin hanya 114, iaitu tiga sahaja lebih dari separuh (111 wakil rakyat).

“Jika enam orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108 – iaitu kurang dari separuh,” katanya.

Ekoran itu, katanya, Kerajaan Muhyiddin akan jatuh diselbabkan itulah Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak salah.

“Kita sudah lihat bagaimana Riza Aziz dilepaskan dan Musa Aman juga sudah dilepas. Sudah tentu enam orang ini juga akan didapati tidak bersalah. Maka selamatlah Muhyiddin,”katanya.

Tambahnya, dunia akan ketawa melihat Kerajaan Pintu Belakang ini memutar undang-undang.

“Yang salah tidak salah. Yang benar salah. Yang menang kalah. Yang kalah menang. Syabas.

“Norma baru sudah dicipta,” katanya.

 



Comments
Loading...