Mahkamah Tolak Permohonan Najib Tangguh Bicara
(Perak Today) – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
BH Online melaporkan Bekas Perdana Menteri itu memohon perbicaraan ditangguhkan sehingga mahkamah mendengar dan memutuskan permohonannya untuk membatalkan pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram selaku Timbalan Pendakwa Raya yang mengetuai pendakwaan dalam kes berkenaan.
Najib memfailkan permohonan terbabit pada 12 Jun lalu.
Hakim Mohamed Zaini Nazlan dalam keputusannya berkata, permohonan Najib itu tidak boleh disamakan dengan permohonan untuk membatalkan kelayakan seorang hakim.
Katanya, walaupun permohonan supaya hakim menarik diri daripada mendengar sesuatu kes hendaklah diputuskan terlebih dahulu sebelum sesuatu perbicaraan bermula, perkara sama tidak boleh digunakan dalam permohonan tertuduh.
“Saya tidak mahu terburu-buru tetapi sudah sembilan hari perbicaraan berlangsung, jika ditangguhkan akan membazir masa.
“Dengan mengambil pertimbangan prosiding hari ini ditangguhkan, saya lebih cenderung dengan teruskan perbicaraan (esok),” katanya.
Permohonan notis usul dikemukakan Najib turut disertakan dengan afidavit sokongan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang mendakwa Sri Ram memujuknya untuk menahan dan mendakwa Najib berkaitan kes 1MDB.
Muhammad Shafee berkata, jika dakwaan itu benar, permohonan membatalkan kelayakan Sri Ram hendaklah diputuskan terlebih dahulu.
Katanya, jika mahkamah meneruskan dengan perbicaraan, ia akan menjejaskan prinsip keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan tetapi ia mesti dilihat untuk dilaksanakan.
“Permohonan ini adalah penting untuk diputuskan terlebih dahulu dan ia serius,” katanya
Bagaimanapun, Sri Ram berhujah permohonan Najib tidak menunjukkan beliau (Sri Ram) akan bertindak berat sebelah dan tidak menyebabkan prejudis kepada perbicaraan.
“Saya tidak mungkin boleh membantah permohonan ini, tetapi kami akan minta perbicaraan diteruskan esok,” katanya.
Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.