TUN JANGAN MAIN POLITIK KOTOR
Roslan SMS
“Hari ini tokoh-tokoh di antara penyokong Muhyiddin ke sana ke sini untuk menawar jawatan dan wang untuk menambah sokongan. Siapa yang menolak tawaran mereka akan diugut dan didera.”
Demikian nukilan bekas PM Tun Dr Mahathir di dalam blognya.
Ternyata luka dari hilang jawatan (atas kerelaan sendiri) terus bernanah dan mencederakan emosinya sehingga begitu mudah terpacul dari mindanya pelbagai pertuduhan tidak berasas, biar pedih sakit asalkan hatinya puas.
Mahathir Ni Dah Bunyi Macam Clare Rewcastle Brown
Jikalah benar tuduhan Tun maka sebagai seorang negarawan beliau bertanggungjawab menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa agar siasatan dan tindakan dapat diambil. Berat bunyinya pertuduhan itu, sogokan dan ugutan, semuanya berunsur jenayah belaka.
Tetapi jika yang ada pada Tun hanyalah cerita reka-rekaan, khabar angin yang tiada asas, maka lebih baik Tun tidak membangkitkannya bimbang nanti beliau pula boleh dikenakan tindakan.
Zaman kerajaan kukubesi dan diktator berparlimen itu zaman dulu dan telah lama berlalu, zaman ketika Tun sendiri PM selama 22 tahun bermula tahun 1981. Mungkin Tun telah lupa.
Ratusan penentang politik dan pimpinan NGO ditangkap dan disumbat tanpa bicara bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penentang yang agresif ditembak mati sebagaimana yang berlaku di Memali. Ketua Hakim Negara dipecat dan dimalukan, demikian juga 5 hakim Mahkamah Agung. Siapa sahaja yang menentang PM dikenakan tindakan dan kalau berjawatan politik akan dicantas dan ditendang umpama Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan malah rakan karib Tun hari ini, Anwar Ibrahim.
Kerajaan Perikatan Nasional tidak sebagaimana ketika Tun PM dahulu samada selama 22 tahun mahupun 22 bulan.
Sedang Tun sibuk mengejar kuasa dan mahu kembali menjadi PM buat kali ketiga, rakyat rata-rata meletakkan keyakinan dan harapan tinggi pada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar dapat membawa negara ke mercu kesejahteraan.
Tun telah diberi peluang dan atas pilihan Tun sendiri meletakkan jawatan. Oleh itu cukuplah dengan sumbangan 22 tahun 22 bulan itu, hari ini rakyat mahu kekal di bawah Muhyiddin dan PN.
Berhati-hati Tun jangan kerana mabukkan kuasa terjerumus pula menyebar dan menabur fitnah.