Pakatan Harapan Patut Lupakan ‘Kerajaan’ Jika Gabungan Cacamarba: ILHAM CENTRE


(MYKMU) – Pakatan Harapan (PH) atau PH Plus tidak perlu berkhayal untuk mengambil alih kerajaan sekiranya gabungan mereka longgar dan cacamarba.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, apabila situasi begini berlaku, sama ada PH atau PH Plus tidak lagi berpeluang untuk mengambil alih kerajaan dalam masa terdekat.

“Konflik ini akan menghilangkan keyakinan ahli-ahli Parlimen untuk menyokong PH atau PH Plus sebagai kerajaan, gabungan longgar seperti ini tidak boleh diharap untuk diberi amanah besar memerintah negara.

“Pokoknya adalah kesatuan sama ada dalam PH itu sendiri atau PH Plus, jika perkara ini tidak mampu diuruskan, isu calon PM (Perdana Menteri) tidak berbangkit sama sekali,” tulisnya di Facebooknya.

Kiriman di media sosialnya itu turut disertakan gambar keratan akhbar Sinar Harian bertajuk “PH berdepan keretakan serius” mengenai isu pemilihan siapa wakil Perdana Menteri PH disiarkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusri yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal, Universiti Malaysia Terengganu itu berkata, negara dan rakyat juga tidak perlu dirisikokan untuk diperintah oleh sebuah kerajaan yang dikuasai oleh gabungan parti-parti yang gagal mengurus diri mereka sendiri.

Sementara itu, dalam satu kaji selidik juga mendapati PH dijangka kalah sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut diteruskan berdasarkan kajian mendapati tahap sokongan kepada PH lebih rendah berbanding Perikatan Nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Dr Wan Mat Sulaiman berkata, analisis tersebut dibuat berdasarkan kaji selidik firma Emir Research yang menggunakan 2,002 responden dari seluruh negara.

“Kaji selidik yang dibuat oleh TSIS sendiri juga menemukan dapatan-dapatan yang hampir sama, dengan menggunapakai 1,451 responden dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Melalui kajian yang dijalankan, katanya, tahap sokongan responden kepada PH hanya 30 peratus berbanding tahap sokongan responden kepada Muafakat Nasional (MN) iaitu 52 peratus.

“Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh 55 peratus responden adalah mereka tidak pasti apakah hala tuju negara berada pada landasan yang betul di bawah pemerintahan PH,” katanya.

 



Comments
Loading...