Lupakan Mahathir, lupakan Anwar
(Sarawak Report) – Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berpandangan rakyat hari ini tidak mahu mengambil kisah soal bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih berbicara soal siapa calon Perdana Menteri sebaliknya rakyat mahukan kepentingan dan kebajikan mereka terbela.
Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, sektor ekonomi negara dan pelbagai keperluan lain hari ini mestilah dibangunkan semula selepas negara dan dunia dilanda wabak Pandemik COVID-19.
“Di kementerian saya, kita telah berbincang dengan para pegawai untuk ‘berlari’ dengan pantas dengan segala SOP kerja kita yang buat dahulu kalau perlu diperbaiki, kita perbaiki dan birokrasi perlu dikurangkan dan kita nak cepat. Segala proses perlu dipercepatkan kerana kita nak bangkit semula. Kalau kita masih terkebelakang akan merugikan kita. Rakyat perlu dibantu dan ini yang perlu dilakukan sekarang.
“Rakyat tidak mahu dengar Tun Dr Mahathir mahu jadi Perdana Menteri lagi… Anwar mahu jadi Perdana Menteri … orang tidak mahu dengar ini. Rakyat mahu nasib mereka dibantu dan itu yang sedang dilakukan oleh kerajaan. Sebab itu kita tubuhkan Pelan Jana Semula ekonomi Negara (PENJANA)… tubuhkan itu dan ini. Kita akan buat yang lebih baik kerana ketika ini rakyat dah letih,” katanya.
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) politik negara sentiasa bergelora dan akhirnya rakyat tertinggal ke belakang. Saya yakin dan percaya rakyat di luar sana mahu nasib mereka terbela dan sebab itu Perdana Menteri sendiri selalu sebutkan bahawa rakyat mesti kita utamakan,” ujarnya seperti dipetik Umno Online.