DHPP sokong kembalikan kuasa Raja Melayu


(Harakah) – Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menyokong penuh seruan kerajaan supaya menarik balik pindaan kontroversial 1993 yang disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Yang di-Pertua Dewan Negara yang bersara, Senator Tan Sri SA Vigneswaran dalam ucapannya pada Majlis Tamat Tempoh Yang di-Pertua Dewan Negara di Parlimen baru-baru ini telah menyeru agar perkara berkenaan kuasa Raja-Raja Melayu dikembalikan.

Susulan itu, Setiausaha DHPP Pusat, S. Barathidasan berkata, pihaknya setuju kuasa Raja-Raja Melayu seperti zaman kemerdekaan lalu dikembalikan semula.

Ini kerana katanya, kuasa Raja-Raja Melayu sangat jelas diperlukan bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan masyarakat majmuk di negara ini.

Dalam pada itu katanya, seruan ini bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya ahli-ahli politik tidak mengheretkan negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat berdepan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik COVID-19.

 



Comments
Loading...