Dr Afif keluar PKR, sertai Bersatu
(Malaysia Dateline) – Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang digantung keanggotaannya dari PKR Mei lalu, menyertai parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bekas Timbalan Ketua Pemuda PKR itu membuat keputusan meninggalkan PKR selepas tiga bulan dikenakan tindakan gantung sementara dari parti.
Katanya, beliau akan duduk di kerusi Pembangkang pada sesi persidangan DUN Pulau PInang pada November ini.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meletakkan saya sebagai pembangkang.
“Jadi, saya akan duduk sebagai wakil rakyat Bersatu di DUN Pulau Pinang,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Afif juga dikatakan telah bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa untuk memaklumkan bahawa pada sesi persidangan DUN Pulau PInang, November ini beliau akan duduk di kerusi pembangkang.
Beliau dilaporkan sebagai berkata, keputusan menyertai Bersatu dibuat bagi membolehkannya berkhidmat dengan baik melalui kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pada 14 April, PKR menggantung keahlian Afif yang sementara menunggu pendengaran lembaga disiplin parti.
Keputusan menyiasat Afif dibuat selepas tindakan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali bersama kumpulannya bertindak keluar parti itu.