Harapan bakal PM berkecai
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR, HARAKAHDAILY
BETAPA tebalnya ketidakyakinan Tun Dr Mahathir terhadap kelayakan Presiden PKR Anwar Ibrahim terbukti apabila Tun enggan menerima cadangan dilantik Menteri Mentor dengan syarat Anwar naik sebagai PM ke-9.
Dalam kenyataan terbarunya Tun memaklumkan beliau akan tarik sokong dari PH Plus namun akan terus berkerjasama dengan DAP dan PAN. Isyarat apakah ini?
Tidakkah ini bermaksud Tun mahu memberi mesej bukan hanya pada PH khasnya DAP dan PAN malah juga seluruh rakyat Malaysia bahawa Anwar sesungguhnya memang tidak memiliki kualiti untuk menjadi calon PM.
Advertisement
Tun pernah sebelum ini memaklumkan yang Anwar punya masalah moral. Tun juga pernah menyatakan bahawa Anwar mempunyai ideologi yang terlalu Liberal, tidak sesuai buat seseorang yang memegang teraju di Malaysia.
Pastinya Anwar sedar bahawa Tun memang tidak akan memberi laluan buatnya untuk naik menjadi PM. Tidak semasa PH berkuasa selama 22 bulan walau konon adanya perjanjian. Apatah lagi tidak sekarang setelah PH Plus duduk merana di bangku pembangkang.
Anwar tidak lagi percaya pada Tun namun perlukan sokongan Tun dan rakan-rakannya. Nampak laluan buat PH Plus dan Anwar sendiri semakin rumit dan sukar… hampir mustahil.
Lantas terimalah hakikat bahawa yang berkuasa hari ini adalah Perikatan Nasional (PN). PN selesa di mata dan hati rakyat.
Anwar dan Tun boleh terus bertelagah dan bersilat, apa pun tanpa sokongan dan bilangan kerusi yang cukup, mereka tidak akan ke mana, kekallah begitu mereka berdua hingga ke penghujung penggal Parlimen ke-14 ini.