MAHATHIR ADALAH ‘ANWAR 2.0’ BAGI SURVIVAL POLITIK DAP
(Editor Malaysia) – Sangat jelas ketika ini apakah peranan sebenar DAP dan berapakah ‘nilai’ Datuk Seri Anwar Ibrahim di mata mereka yang ketika ini dengan mudah menggantikan peranan beliau dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sesiapa jua yang mampu memecah belahkan bangsa Melayu yang secara tidak langsung memberikan kekuatan buat DAP akan terus dipergunakan semahu-mahunya seperti mereka mempergunakan Anwar sejak sekian lama. Dahulu Anwarlah hero mereka yang diusung ke hulu dan ke hilir, namun setelah madu habis diperah, sepahnya mula dibuang.
Nasib yang sama juga menanti Tun Mahathir dan pasukan serpihan Bersatunya, yang akan ‘diratah’ habis-habiskan oleh DAP setelah ketiadaan Tun Mahathir kelak yang kini sudah berusia sangat lanjut. Pada usia menjangkau 96 tahun pada 10 Julai depan, DAP tahu Tun Mahathir tidak mampu bertahan lama dan kerana itu bagi mereka 6 bulan sudah cukup bagi ‘menggula-gulakan’ Tun Mahathir dengan umpan kuasa tidak terhingga selaku Perdana Menteri.
Walaupun DAP tahu, peluang mereka agak sukar tanpa Anwar dan PKR dalam Pakatan Harapan Plus, apatah lagi majoriti mudah 112 pasti tidak akan mereka perolehi namun bagi DAP ketika ini ‘memegang’ Mahathir untuk memecahbelahkan sokongan Melayu lebih penting untuk kekal relevan dalam politik tanahair kerana Anwar dan PKR sudah semakin terpinggir apatah lagi setelah keluarnya sebahagian PKR melalui pasukan Datuk Seri Azmin Ali.
Bagi Anwar pula, mungkin baru ketika ini beliau dan segelintir penyokong PKR yang bersamanya mula perasan berapakah nilai mereka, mula sedar bagaimana mereka dipergunakan, apabila DAP memilih Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Plus, walaupun Anwar kekal setia bersama mereka lebih 20 tahun.
Ataupun Anwar dan PKR sememangnya tahu dan nampak sejak dahulu namun ‘tarikan’ ingin menjadi Perdana Menteri mengelabui mata mereka, menyebabkan rela dipergunakan dan diperbodohkan sejak sekian lama yang akhirnya kini mula dipinggirkan.
Sama juga Tun Mahathir dan serpihan Bersatu yang bersama beliau, jika belum sedar ketika ini mereka dipergunakan, diperbodohkan oleh DAP demi untuk memecahbelahkan sokongan orang Melayu yang menjadi majoriti di negara ini, mungkin suatu hari kelak mereka akan sedar apabila DAP menemui pengganti yang lain bagi menggantikan Tun Mahathir pula.
PAN pula tidak dirisaukan, kerana mereka hanya mengikut telunjuk DAP, kerana mereka tahu tanpa DAP mereka sudah tidak lagi relevan dalam landskap politik negara apatah lagi setelah 22 bulan berkuasa, rakyat semakin nampak betapa teruk dan hipokritnya ketika mereka memegang kuasa. Anwar dan sebahagian PKR ketika ini jika ingin kekal relevan dalam Pakatan Harapan Plus perlulah bersikap seperti PAN, hanya mendengar, taat dan mengikut telunjuk DAP, jangan asyik ingin menjadi Perdana Menteri – kerana tujuan DAP tetap sama iaitu memecahbelahkan sokongan kaum Melayu melalui strategi “Melayu screw Melayu“.
Anwar dan serpihan PKRnya tidak akan ke mana-mana di luar Pakatan Harapan Plus kerana tidak mungkin beliau ingin bersama Perikatan Nasional apatah lagi bersama Muafakat Nasional yang pasti akan menolaknya mentah-mentah.
Jika beliau ingin bersama Bersatu yang ketika ini bersama dengan Ahli Parlimen UMNO yang melompat juga tidak mungkin kerana ketika ini mereka bersama pasukan Azmin yang digelar oleh PKR sebagai pengkhianat parti.
DAP tahu mengenai perkara ini dan yakin akhirnya Anwar akan kembali memilih bersama Pakatan Harapan Plus, cuma ketika ini masing-masing masih berunding agar Anwar sanggup menerima pilihan kedua iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri di belakang Mahathir, jika Pakatan Harapan Plus berjaya menjatuhkan Perdana Menteri kelapan atau sebelum PRU-15 kelak.
Anwar pula masih menimbang-nimbang kerana ragu-ragu setelah banyak kali dimalukan dan ditipu oleh Mahathir sejak 1998, beliau takut selepas 6 bulan inipun Mahathir akan berterusan berdolak-dalik (jika panjang umur) dan beliau akan kekal menjadi “bakal Perdana Menteri” selama-lamanya – igauan ngeri yang tidak sanggup lagi beliau hadapi ketika ini.
Cuma Mahathir belum sedar seperti Anwar atau sememangnya rela dipergunakan kerana ada agenda peribadi demi anak dan kroni. Walaupun Anwar dan penyokongnya sudah sedar tetapi jangan terkejut Anwar akan tetap kekal bersama Pakatan Harapan Plus dan menerima pilihan kedua iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri di belakang Mahathir dan mungkin akan ditipu sekali lagi, kerana pilihan Anwar sangat terhad ketika ini.
Bagi DAP pula, siapapun Perdana Menteri mereka tidak kisah, tidak kira Mahathir ataupun Anwar, asalkan Melayu kekal berpecah belah, mereka akan berpeluang menguasai kabinet, yang telah mereka berjaya buktikan pada PRU-14 yang lepas.
Cuma 22 bulan ketika itu terlalu singkat, banyak peluang dan agenda mereka terbantut di tengah jalan, maka mereka perlu teruskan melalui Mahathir, Anwar, Mat Sabu, Mujahid dan lain-lain pemimpin Melayu yang berpotensi memecahbelahkan sokongan Melayu sepanjang masa.
Siapa pula akan DAP pergunakan dengan ‘umpan’ jawatan Perdana Menteri selepas Anwar dan Mahathir?