Sayap Pemuda PKR mahu Anwar, tolak Shafie sebagai calon PM


(FMT) – Walaupun Dr Mahathir Mohamad dan parti dalam sekutu Pakatan Harapan (PH) meneruskan pencaturan baru dengan menamakan Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang, namun langkah itu ditolak PKR.

Sayap Pemuda parti itu bertegas dan tetap menamakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal perdana menteri jika gabungan itu berjaya kembali ke Putrajaya.

“Pemuda PKR masih berpegang dengan keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sebelum ini, iaitu pilihan kita hanya Anwar sebagai perdana menteri,” kata setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Ab Razak.

Syukri berkata, PKR tidak boleh menghalang parti sekutunya, iaitu Amanah dan DAP daripada menyokong pencaturan Mahathir dengan memilih Shafie sebagai calon perdana menteri, sekali gus mengingatkan pemimpin parti terbabit supaya mengutamakan keputusan gabungan PH.

“Kita tak boleh halang Amanah dan DAP untuk buat percaturan mereka. Namun kita mengharapkan DAP dan Amanah akan mengutamakan keputusan dan pendirian di peringkat Pakatan Harapan,” katanya.

Semalam Mahathir mendedahkan cadangan untuk menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang disokong pemimpin Amanah dan DAP.

Bagaimanapun, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudiannya berkata, cadangan itu belum dibincangkan di peringkat parti mereka atau Majlis Presiden PH.

Mahathir berkata, Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan anaknya yang juga bekas timbalan presiden PPBM, Mukhriz Mahathir, akan dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri dalam kerajaan Shafie.

Beliau mendakwa, jika gabungan pembangkang menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri, maka sukar buat mereka untuk kembali menguasai kerajaan.

 



Comments
Loading...